FMT Reporters
Pendaki itu berkata dia berdepan cabaran muka bumi dengan tanah terlalu lembut dan berbukit-bukit hingga menyebabkan dia jatuh banyak kali.

Pendaki Jaslinda Saludin ditemui selamat oleh penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu Pos Musoh selepas hampir dua minggu hilang di dalam hutan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Pendaki Jaslinda Saludin yang ditemui selamat selepas hilang hampir dua minggu di Gunung Batu Putih, Perak sempat menceritakan pengalamannya sepanjang dia berada di dalam hutan.
Dalam beberapa video tular yang dirakam ketika berada di perkampungan Orang Asli Kampung Lubuk Gaharu Pos Musoh, Jaslinda berkata dia jatuh beberapa kali dan turut berlindung di dalam gua.
Jaslinda, 49, berkata selepas meneruskan perjalanan dari puncak gunung, dia mendapati dirinya tersasar dari laluan apabila berpusing-pusing di tempat yang sama.
“Dalam perjalanan, akak jatuh banyak kali. Akak berpusing-pusing di tempat yang sama dan keluar tempat sama.
“Jadi akak tukar belah ke kanan, itu yang jumpa bukit itu. Bukit itu ada dua, tapi sebelum itu akak dah naik gunung itu,” katanya.
Katanya, keadaan muka bumi yang berbukit dan tanah yang lembut menyukarkan dia untuk mencari jalan keluar.
“Macam nak mati sebab dia punya tanah terlalu lembik, turun naik turun naik (bukit). Ada air itu saya minum. Dia ada macam gua, kita masuklah,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Bah Roslan Bah Sulpok, 51, memberitahu Sinar Harian dia nampak seorang wanita dalam keadaan lemah sedang menyeberangi jambatan berhampiran kampung tersebut.
Bah Roslan berkata dia kenal wanita itu adalah Jaslinda berdasarkan gambar yang dilihatnya di telefon bimbit.
“Saya terus jerit minta dia tunggu sahaja di situ. Bila saya pergi dekat dia, dia terus menangis dan cakap tolong saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Jaslinda juga dilaporkan sudah dibawa keluar dari perkampungan berkenaan dengan sebuah ambulans dan tiba di Hospital Tapah pada 9.20 malam tadi untuk pemeriksaan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan