Rosli Ilham

Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di LPT2, dekat Paka yang menyebabkan seorang wanita putus kaki kiri – Foto JBPM
DUNGUN: Seorang wanita cedera parah selepas kaki kirinya terputus setelah kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 341.5, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka, dekat sini, petang tadi.
Mangsa berusia 57 tahun dan menaiki Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) jenis Proton X70.
Sebelum kejadian, kenderaan terbabit yang dinaiki seorang lelaki dan empat lagi dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Pegawai Bomba Kanan II, Nor Hazamullah Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu, kira-kira jam 5.41 petang.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kenderaan terbabit terbabas di lokasi kejadian.
“Mangsa yang putus kaki kiri dari paras lutut ke bawah itu berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.
“Bahagian kaki yang terputus turut ditemukan di dalam kenderaan berkenaan,” katanya.
Nor Hazamullah berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.
“Empat lagi mangsa di dalam kenderaan itu turut cedera dan dihantar ke Hospital yang sama untuk menerima rawatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan