Malaysiakini
Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dimasyurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka, sebentar tadi.
Pemasyhuran berkenaan diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.
“Bahawasanya selaras dengan Perkara 11 Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959, kami Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat dengan kuasa yang ada pada kami berkenaan memilih dan memasyhurkan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, berkuat kuasa serta-merta.
“Bersesuaian dengan pengisytiharan Undang Yang Empat yang dilakukan pada 19 April 2026. Sekian dimaklumkan,” katanya ketika pengisytiharan itu.
Pengisytiharan itu kemudiannya disambut dengan penerima Tunku Nadzaruddin.
“Bahasanya beta Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar menjunjung kasih kepada Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta Datuk Syahbandar Sungai Ujong atas pemilihan dan pemasyhuran beta sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12,” katanya.
Majlis itu disusuli dengan bacaan doa dan laungan “daulat tuanku” oleh hadirin.
Turut hadir ahli politik veteran Rais Yatim, yang juga pengkaji adat perpatih serta bekas menteri besar Negeri Sembilan lebih 40 tahun lalu.
Hangatkan krisis pertikaian takhta
Pemasyhuran itu hari ini dijangka menghangatkan lagi krisis pertikaian takhta dengan dengan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Negeri Sembilan.
April lalu, empat undang, termasuk Mubarak (Sungai Ujong) yang kedudukannya dipertikai, mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz dan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar baru berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Besar Aminuddin Harun bagaimanapun menegaskan pemecatan Tuanku Muhriz tidak sah dan tidak diiktiraf atas alasan Mubarak yang membuat pengisytiharan tiada kuasa sah sebagai Undang.
Drama sebelum pengisytiharan
Terdahulu Malaysiakini melaporkan berlaku kekecohan di pintu utama Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin pagi ini apabila dua Undang dihalang pihak polis daripada memasuki premis tersebut.
Insiden sekitar jam 9 pagi itu berlaku apabila Undang Luak Johol dan Jelebu tiba untuk menghadiri satu sidang khas bersama pemimpin adat negeri yang lain, dikatakan bagi membincangkan dan menamatkan pertikaian diraja Negeri Sembilan yang berlarutan.
Kekecohan tersebut berlangsung kira-kira 10 minit sebelum Tunku Besar Tampin, Syed Razman Syed Idrus, datang ke pintu utama dan bercakap dengan Amiruddien.
Syed Razman memberitahu pegawai kanan itu bahawa dia telah bercakap dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail, yang dikatakan mengarahkan polis tidak menghalang undang berkenaan masuk.
Undang Luak akhirnya dibenarkan memasuki premis tersebut, namun mereka terpaksa memendekkan perjumpaan berkenaan kerana ketiadaan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar yang dinamakan sebagai “Yang di-Pertuan Besar baru”.
Sehubungan itu majlis berkenaan ditukar ke hotel berkenaan yang pada awalnya turut menyaksikan Undang Yang Empat turut dihalang mengadakan pertemuan dengan Tunku Nadzaruddin.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan