"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mafia korporat: Ahli perniagaan dedah konspirasi ‘soldier boys’, diugut pistol

malaysiakini logo
ADS

story-image
mk-logo
Farah Solhi

Pengasas sebuah syarikat yang didakwa menjadi sasaran “mafia korporat” memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu ini, dengan menceritakan dakwaan konspirasi yang didakwa dilakukan melalui kumpulan WhatsApp “soldier boys” — serta satu ugutan senjata api yang didakwanya berlaku terhadap dirinya di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Dalam keterangan saksi, pengasas GIIB Holdings Berhad (GHB), Tai Boon Wee, berkata dia diperkenalkan kepada defendan Yee Voon Hon dan Wong Weng Yew pada tahun 2020, pertemuan yang menurutnya mencetuskan pertikaian pegangan saham serta kempen untuk menekan harga saham GHB melalui liputan media yang dimanipulasi.

Tai mendakwa sekumpulan individu termasuk Yee dan Wong berpakat untuk mengambil alih syarikat tersebut, dengan perbincangan strategi dilakukan dalam kumpulan WhatsApp bernama “soldier boys”.

“Mesej WhatsApp tersebut termasuk perbincangan mengenai penggunaan dana haram dan tersembunyi, serta rancangan untuk merosakkan kredibiliti dan reputasi keluarga saya.

“(Ia juga membincangkan) tindakan melambatkan proses perbankan, manipulasi liputan media, serta pengumuman negatif bagi menurunkan harga saham GHB.

"Bukti WhatsApp menunjukkan adanya rancangan berterusan dan teratur oleh defendan untuk menjejaskan GHB dan mengambil alih syarikat awam itu,” katanya.

Dakwaan itu dibuat ketika Tai memberi keterangan sebagai saksi kelima bagi GHB dalam saman fitnah terhadap Wong, Yee dan lima individu lain.

Saman

GHB mendakwa Wong memfitnah syarikat melalui kenyataan pada tahun 2022 yang disiarkan di beberapa media termasuk The Edge Markets.

Wong sebelum ini merupakan ahli lembaga pengarah GHB sebelum ditamatkan perkhidmatan pada Mei 2022, manakala Yee ialah pemegang saham GIIB Healthcare Products Sdn Bhd.

Syarikat itu memohon injunksi mahkamah, permohonan maaf secara bertulis dan lisan daripada Wong, serta ganti rugi am, punitif dan teruk, selain kos perbicaraan.

Wong pula mendakwa dia digantung selepas membongkar beberapa transaksi “meragukan”, termasuk RM630,000 yang didakwanya disalah guna oleh Tai dan keluarganya.

Dia juga mendakwa Tai meminta dirinya meluluskan beberapa transaksi sehingga RM500,000 selepas penggantungannya, ketika dia masih merupakan penandatangan syarikat.

Wong dan Yee telah memfailkan tuntutan balas berasingan terhadap Tai serta beberapa individu lain, yang kesemuanya dijadual dibicarakan di hadapan Hakim Quay Soon Chew.

Tai balas balik

Tai, 66, yang kini menjadi penasihat GHB, memberitahu mahkamah bahawa kenyataan Wong kepada media adalah “tuduhan yang direka” terhadapnya — palsu, berniat jahat dan sebahagian daripada konspirasi terancang untuk menjatuhkan dirinya serta syarikat.

Tai berkata Wong telah meninggalkan konteks penting bahawa transaksi tersebut sebenarnya untuk membayar gaji pekerja.

“Kenyataan itu palsu, tidak berasas dan dibuat dengan niat jahat untuk mencemarkan reputasi saya sebagai pengerusi eksekutif dan CEO,” katanya.

Dia menambah bahawa tindakan itu telah memberi kesan kewangan yang buruk kepada syarikat serta operasi perniagaannya, selain menyebabkan tekanan, penderitaan dan memalukan dirinya di mata umum.

Tai juga mendakwa Wong sengaja menghalang transaksi kewangan syarikat sehingga dia terpaksa mendapatkan kelulusan secara langsung daripada Wong.

“Oleh itu, beliau tidak berhak menggunakan situasi yang beliau sendiri cipta untuk menuduh saya melanggar tadbir urus baik.

“Saya hanya bertindak demi kepentingan GHB, dan beliau mengetahuinya,” kata Tai.

Ugutan dan senjata api

Tai memberitahu mahkamah dia pernah menerima ugutan daripada dua individu berkaitan pertikaian pemilikan saham syarikat — daripada Chong Loong Men pada 2022 dan ahli perniagaan Andy Lim pada 2023, yang turut dikaitkan dengan “mafia korporat” dalam laporan Bloomberg.

Tai mendakwa ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2023, seorang pegawai mengarahkannya bertemu Lim di restoran The Social di Publika, Kuala Lumpur.

“Ketika saya masih memberi keterangan kepada SPRM, pegawai itu meminta saya pergi ke pertemuan (dengan Lim). Pada mulanya saya menafikan dan menegaskan bahawa saya tidak mempunyai sebarang pertemuan. Namun beliau tetap mendesak saya pergi dan berkata ia adalah pertemuan yang sangat penting.

“Selepas saya meninggalkan ibu pejabat SPRM di Putrajaya, saya mengikuti arahan pegawai itu ke Publika, di mana saya bertemu dengan Chong Loong Men dan diperkenalkan kepada Lim,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh peguam Marcus Liew.

Tai berkata Lim telah membuat tuntutan berkaitan pegangan saham GHB dan apabila dia menolak, Lim didakwa menunjukkan sepucuk pistol dan mengugutnya.

Bagaimanapun, Tai tidak menyatakan ugutan senjata api itu dalam kenyataan saksinya mahupun dalam laporan polis, walaupun dia telah membuat laporan selepas pertemuan tersebut. Perkara itu menimbulkan persoalan oleh peguam pembela, Tharminder Singh.

Tai mengakui dia tidak memasukkan insiden itu dalam kenyataan saksi kerana ketika itu bimbang akan keselamatan dirinya. Hanya selepas laporan Bloomberg, dia berkata baru berasa selamat untuk mendedahkannya.

“Saya rasa ini sesuatu yang berlaku di Malaysia dan sudah diketahui umum, jadi saya fikir sudah tiba masanya untuk saya memasukkannya,” katanya, sambil menafikan dakwaan pihak pembela bahawa dia hanya menumpang naratif laporan Bloomberg.

Perbicaraan dijadual bersambung pada 29 Julai.

Tiada ulasan: