Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

Kecoh pembesar adat tak dibenarkan masuk ke kediaman rasmi. FOTO AMIN JALIL
Tampin: Mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang dijadualkan berlangsung di Balai Rasmi Kediaman Tunku Besar Tampin, di sini, pagi ini kecoh apabila pembesar adat dilarang masuk ke dalam kawasan kediaman rasmi terbabit oleh pihak berkuasa.
Kekecohan itu berlaku di luar pintu masuk utama kediaman terbabit sebaik pembesar adat itu tiba di lokasi berkenaan sekitar jam 8.30 pagi.
Pembesar adat terbabit ialah Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Datuk Undang Luak Rembau, Datuk Abd Rahim Yassin dan Datuk Syahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.
Turut hadir, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.
Pengamal media juga dilarang memasuki kawasan kediaman rasmi berkenaan.
Situasi kekecohan itu bagaimanapun reda apabila Tunku Besar Tampin, Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri tampil ke pintu utama dan mengarahkan pintu pagar dibuka.
Berikutan itu, pihak berkuasa kemudian memberi kebenaran kepada pembesar adat terbabit untuk masuk ke dalam.
Bercakap di kawasan luar pagar kediaman rasmi, Muhammed berkata, pihaknya meminta kerjasama agar dibenarkan masuk.
"Dalam pagar (dalam kawasan mesyuarat) tanggungjawab saya kalau jadi apa-apa rusuhan. Tak puas hati, panggil saya ke balai. Saya minta kerjasama jangan malukan institusi adat. Kalau majlis raja-raja tuan-tuan boleh tahan ke, sama dengan DKU (Dewan Keadilan dan Undang) ini.
"Siapa pegang kunci, buka sekarang. Saya nak masuk. Arahan saya siapa nak ikut, saya Datuk Undang tau. Kamu harus hormat Datuk Undang. Sila buka kunci, buka sekarang. Saya faham ikut arahan. Arahan siapa nak ikut," katanya.
Sementara itu, Rais melahirkan rasa kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang melarang pembesar adat memasuki dewan mesyuarat.
"Apa kesalahan kami di sini. Ini pihak diraja Negeri Sembilan," katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili pembesar adat berkenaan ketika ditemui di pintu pagar utama, Muhamad Khairul Azam Abd Aziz berkata, mesyuarat DKU berjalan seperti dijadualkan bermula sekitar jam 9 dan selesai 9.52 pagi dipengerusikan Maarof.
Beliau berkata, lima ahli DKU hadir kecuali Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku Pengerusi DKU.
Turut tidak hadir Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Undang Luak Sungei Ujong yang didakwa sudah dipecat, Datuk Mubarak Dohak.
"Mesyuarat DKU selesai jam 9.52 tadi dan media diminta menunggu kerana ada satu perkara besar akan berlaku (pada penghujung majlis)," katanya, namun beliau tidak menyatakan perkara berkenaan.
Krisis adat dan perlembagaan Negeri Sembilan mencuri tumpuan apabila Undang Yang Empat menggunakan kuasa mereka menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan