Muhammad Yusri Muzamir
PUCHONG: Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf dan akan terus berkhidmat kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pendirian rasmi kerajaan itu dibuat mengikut saluran perundangan dan perlembagaan biarpun terdapat usaha memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, menggantikan Tuanku Muhriz.
Anwar turut mohon supaya sebarang pandangan lain mengenai isu berkenaan perlu dibuat mengikut saluran sah mengikut perlembagaan bagi mengelakkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Ini kerana, katanya, menggugurkan atau memansuhkan mana-mana raja akan memberikan implikasi sangat besar terhadap negara dan keamanan tanah air.
“Krisis di Negeri Sembilan tentunya sedikit menggusarkan kerana institusi Raja ada peraturan, kaedah dan cara kemuliaannya. Jika digugat begini rupa, ia mesej yang sangat tidak baik.
“Saya tidak menafikan hak sesiapa ikut saluran undang-undang dan perlembagaan negeri tetapi hujah harus kuat. Sebab ini kita pandang berat dan saya sudah memberi pandangan ini kepada pihak berkenaan.
“Kita harus ikut saluran mahkamah yang buat keputusan tadi dan dan kita juga sudah beri nasihat tetapi diteruskan pengisytiharan di hotel yang saya fikir juga tidak menjejaskan juga imej dan identiti Raja ditabalkan di pekarangan hotel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti di sini, hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan