"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda PAS Bangi lulus usul putus hubungan dengan Bersatu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pemuda PAS Bangi sebulat suara meluluskan usul untuk memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dalam mesyuarat agung tahunannya yang berlangsung hari ini.

Dalam satu kenyataan ringkas di Facebook, sayap pemuda PAS itu turut menggesa kepimpinan PAS dan Pemuda PAS pusat membuat keputusan yang sama.

“Pemuda PAS Bangi juga sebulat suara mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali terhadap presiden PAS dalam pelancaran jentera Bersatu di Melaka,” katanya.

Walaupun Pemuda PAS Bangi tidak memperincikan kenyataan Azmin yang dimaksudkan, ia dipercayai merujuk kepada kenyataan beliau yang menolak dakwaan bahawa Bersatu tidak mempunyai jentera akar umbi yang mencukupi, sambil menggesa pengkritik supaya jangan ‘pekak dan buka mata’.

Pada 22 Mei lalu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mendakwa Bersatu menuntut banyak kerusi dalam PRN dan PRK sebelum ini walaupun mempunyai jentera yang tidak mencukupi di peringkat akar umbi.

Menurut Hadi, PAS sering terpaksa menggerakkan jentera parti sendiri bagi menyokong usaha gabungan dalam pelbagai pilihan raya.

Keputusan Pemuda PAS Bangi itu dibuat ketika hubungan antara PAS dan Bersatu semakin tegang susulan krisis politik di Perlis, yang menyaksikan seorang Adun Bersatu menggantikan Adun PAS yang dipilih sebagai menteri besar.

Sejak itu, Hadi berkata PAS sedang menilai semula hubungannya dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional, termasuk kemungkinan menghadapi PRU akan datang tanpa parti yang dipimpin Muhyiddin Yassin itu.

Tiada ulasan: