LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR

TANGKAP layar video menunjukkan kaki kiri Jaslinda (dalam bulatan) yang agak bengkak selepas ditemui selamat di Pos Musoh hari ini.
TAPAH – Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang ditemui berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh di sini hari ini membuat keputusan untuk turun sendiri dari puncak gunung itu sebelum kehilangannya pada 24 Mei lalu.
Menerusi rakaman video yang tular di media sosial hari ini, dia berkata, keputusan itu diambil kerana tidak mahu berada di puncak gunung tersebut terlalu lama.
Katanya, sebelum pendakiannya ke puncak gunung tersebut, dia telah memaklumkan kepada individu yang bersamanya dipercayai malim gunung bahawa dia mahu memulakan pendakian ke puncak.
“Akak cakap akak gerak dulu, jadi akak gerak dulu naik atas. Lepas itu kamera akak bateri semua dah habis. Jadi akak pun dah sampai atas.
“Jadi akak tunggu kejap. Nak tunggu lama (di puncak), takut malam itu, dia (Mohd. Hanafi Neikmad, 41) tak larat,” katanya dalam rakaman video berkenaan hari ini.
Dia juga didengari memberitahu penduduk kampung Orang Asli di kampung berkenaan bahawa dia jatuh berulang kali sewaktu dia sesat di Gunung Batu Putih.
Sejurus ditemui hari ini, Jaslinda diberi makan oleh penduduk kampung berkenaan, selain dia dilihat berada dalam keadaan sihat walaupun kakinya kelihatan bengkak.
Operasi SAR mengesan Jaslinda diaktifkan 25 Mei lalu selepas wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.
Difahamkan, mangsa yang cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki dan seorang malim gunung di Kem Batu Core selepas lelaki terbabit mengalami masalah pernafasan.
Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung. – KOSMO!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan