"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRN NS: Siapo terpolanting, siapo melonting?

Mohsin Abdullah

PRN Negeri Sembilan kali ini bukan pilihan raya biasa-biasa. Ini bukan sekadar pasal pembangunan, prestasi kerajaan dan sebagainya.

Menurut laporan Malay Mail petang semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya sudah terima notis pembubaran DUN Negeri Sembilan dan akan mengadakan mesyuarat bagi menetapkan tarikh PRN.

Bila mesyuarat khas itu diadakan akan diumum kelak, maknanya PRN akan diadakan. Ertinya bolehlah ketepikan drama pagi semalam di depan rumah Tunku Besar Tampin, dan ‘pemasyhuran’ Yang di-Pertuan Besar yang ‘baharu’ untuk menggantikan Yang di-Pertuan Besar sedia ada, di sebuah hotel di Melaka.

Kerajaan persekutuan menegaskan ia kekal mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Ertinya pembubaran DUN dianggap sah setelah diperkenan baginda.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Seremban memberikan perintah injuksi sementara untuk mengekalkan status quo di tengah tengah krisis di Negeri Sembilan. Namun Undang serta pemimpin adat membantah pembubaran DUN yang diumumkan Menteri Besar Aminuddin Harun pada Khamis, dan memberi amaran akan kesan undang-undang berikutan langkah itu.

Jelas dan nyata krisis ini tidak nampak penyelesaian. Apa pun, saya ulangi, ketetapannya ialah PRN akan diadakan. Ini bukan pilihan raya biasa-biasa. This is an election never seen before.

Ini bukan sekadar pasal pembangunan, prestasi kerajaan dan sebagainya. Ini mengenai adat perpatih dan Yang di-Pertuan Besar yang memerintah. Sesungguhnya krisis institusi adat membawa kepada pmbuburan DUN.

Kata anak jati Negeri Sembilan, Kamarulzaman Zainal, yang juga bekas setiausaha akhbar kepada Abdullah Ahmad Badawi, “apabila adat dan politik bertembung di bumi bertuah ini undi rakyat bukan lagi sekadar memilih wakil rakyat tetapi menentukan neraca keabsahan antara istana dan balai undang”.

Bagi saya, yang akan menjadi isu pada PRN kali ini berkait secara langsung soal siapa derhaka, siapa setia, dan siapa pertahan adat. “Ini sudah pasti,” kata Kamarulzaman.

Katanya lagi, “Perikatan Nasional akan terus menggunakan isu ini terutama di kawasan-kawasan yang masih kuat berpegang pada adat”.

Menurut seorang pemerhati politik, juga anak jati Negeri Sembilan, Umno menangguk di air keruh, dan kemudian beberapa langkah yang diambil Undang yang empat menjadikan krisis lebih serius.

Menurut beliau, rakyat melihat isu ini dalam perspektif berbeza dan segalanya bersimpang siur. Bagi penyokong Umno, kata beliau, naratif kegagalan kerajaan negeri lebih ketara berbanding Pakatan Harapan yang melihat wujud campur tangan politik Umno dalam krisis ini.

“Di samping itu tampil beberapa figura Bersatu daripada tim Reset seperti Rais Yatim dan Chegu Bard yang mempertajamkan lagi pertembungan ini,” kata si pemerhati itu.

Bekas wartawan, Kalimullah Hassan, mengingatkan kita bahawa Rais pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan daripada 1978-1982, kemudian menjadi menteri Umno di peringkat pusat sehingga 1987. Beliau jadi sebahagian gerakan yang gagal menjatuhkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, lalu dipecat.

Katanya, Rais waktu itu sudah bakar jambatan dengan Umno namun 12 tahun kemudian setelah tidak berjaya dalam Semangat 46 masuk semula Umno. Kemudian, kata Kalimullah, Abdullah Badawi semasa itu timbalan perdana menteri masuk campur dan membawa Rais ke dalam Kabinet.

Apabla Abdullah jadi perdana menteri pada 2003, Rais “continued to be a favoured minister,” kata Kalimullah. Bagaimanapun, apabila Pak Lah hilang majoriti 2/3 pada pilihan raya 2008, Rais antara orang pertama yang berpaling tadah terhadap Pak Lah, menurut Kalimullah.

Rais menyokong Najib Razak sebagai perdana menteri namun apabila Najib bersama Umno-BN tewas pilihan raya 2018, Rais masuk Bersatu pimpinan Mahathir.

Apabila Mahathir tumbang pada 2020, Rais terus setia dengan orang yang jatuhkan Mahathir iaitu Muhyiddin Yassin, kata Kalimullah. Kini apabila Muhyiddin berdepan masalah ahli keluar parti, Rais menyebelahi Hamzah Zainudin, musuh Muhyiddin.

“Wow,” kata Kalimullah.

Kata Kalimullah, sekarang Rais menjadi ‘penasihat Undang Negeri Sembilan dan Yamtuan yang baharu’. Giliran saya kata “wow“.

Berbalik kepada pemerhati politik tadi. Kata beliau, naratif yang mendominasi krisis ini “itulah yang akan mewarnai PRN nanti”.

Menurut beliau, kerajaan negeri yang bakal dipilih dan mendapat mandat baharu pula hanya berperanan sebagai mediator bagi membantu proses penyelesaian krisis — dalam konteks ini PRN lebih bertujuan untuk mengembalikan kestabilan pentadbiran negeri melalui kerajaan yang punya mandat rakyat yang jelas, punyai majoriti serta segar.

Buat masa ini kesimpulan beliau ialah: “parah krisis ini tercalar pusaka, hilang adat, rendah budaya, turun dan tabal tiada susila. Yang nak diturun tanpa sebab, yang ditabal seperti berharap, majlis menyalah adab.”

Kasimpulan Kamarulzaman pula: “Kito tengok undi nanti siapo yang terpolanting siapo yang melonting.”

Kesimpulan Kalimullah: “Rais dan rakan-rakanya, bekas Bersatu, bekas Umno, bekas apa sahaja, seharusnya tahu apa yang mereka lakukan. Politik boleh dan memang menghancurkan masyarakat dan negara. Sejarah penuh dengan contohnya.”

Kata pemerhati politik pula, PRN tidak akan menyelesaikan kemelut ini secara tuntas kerana kedudukan dan bidang kuasa institusi adat terletak bawah kebijakan luak masing-masing.

“Justeru penyelesaian sebenar memerlukan Yamtuan Besar dan para Undang kembali bermusyawarah serta mencapai persefahaman melalui meja rundingan,” kata beliau.

Tanya saya kepada diri sendiri, adakah itu akan berlaku? Bolehkah ia berlaku?

Tiada ulasan: