N Faizal Ghazali
Hasrat pemimpin PAS Perlis mengadakan pilihan raya negeri (PRN) lebih awal mungkin tidak kesampaian apabila belum ada sebarang arahan terhadap Adunnya untuk menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.
Bekas Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
“Belum dapat arahan rasmi,” katanya ringkas.
Ditanya apakah arahan itu berkait langkah menarik sokongan terhadap Abu Bakar, Shukri yang kini masih di tanah suci menjawab: “Apa saja arahan”.
Adun Sanglang itu dijadualkan pulang ke tanah air pada 16 Jun, sekali gus terlepas daripada menghadiri Sidang DUN yang bermula hari ini.
Kedudukan kerajaan negeri Perlis menjadi tumpuan susulan kedudukan Abu Bakar daripada Bersatu dilihat tidak stabil dan bergantung pada sokongan Adun PAS.
Di tengah-tengah pertembungan antara parti komponen PN itu, wujud spekulasi kemungkinan DUN Perlis dibubarkan sekiranya PAS menarik sokongan terhadap Abu Bakar, sekali gus ‘membalas dendam’ penyingkiran Shukri sebelum ini.
Sebelum ini, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, turut menyatakan secara terbuka bahawa krisis di Perlis mencerminkan pelanggaran semangat setiakawan antara PAS dan Bersatu.
Kelmarin, susulan pembubaran DUN Johor, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat PRN tidak wajar hanya diadakan di Johor, sebaliknya boleh diperluas ke beberapa negeri lain termasuk Perlis yang disifatkan sebagai “tidak stabil”.
Dia berkata PAS bersedia menghadapi PRN Johor dan akan memuktamadkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi.
“PAS akan mengadakan mesyuarat bagi meneliti persiapan bagi PRN ini.
"Elok juga kalau diadakan (PRN) serentak bagi Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak, bahkan Perlis yang dilihat tidak stabil,” katanya dipetik sebagai berkata.
Dalam perkembangan sama, sidang DUN Perlis yang bermula hari ini menyaksikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyatakan harapan agar Abu Bakar dapat diberikan ruang untuk terus memimpin negeri hingga ke penghujung penggal tanpa sebarang gangguan.
Setakat ini komposisi DUN Perlis yang mempunyai 15 kerusi menyaksikan kedudukan yang seimbang antara PAS dan Bersatu, iaitu masing-masing lima kerusi, tanpa kehadiran Shukri Ramli.
Ini kerana tiga orang lagi Adun PAS digantung, manakala seorang lagi merupakan Adun tunggal PH.
Keadaan itu sekali gus menyukarkan sebarang usaha untuk PAS menarik sokongan atau mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar ketika ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan