NOR AINNA HAMZAH
SEREMBAN – Pimpinan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini mengadakan mesyuarat khas di kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, di sini, pagi ini.
Beberapa pemimpin parti komponen PH juga kelihatan turut hadir di lokasi kediaman Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan.
Bagaimanapun butiran lanjut mengenai mesyuarat khas tersebut masih menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengamal media yang sudah berada di lokasi sejak pukul 9.30 pagi tadi.
Mesyuarat itu akan dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH, namun beberapa ADUN difahamkan masih belum hadir ke lokasi mesyuarat sehingga pukul 10.45 pagi tadi.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd. Shah memaklumkan tiada sidang akhbar berkaitan akan dibuat hari ini.
Bagaimanapun menurutnya, Menteri Besar sebagaimana kelaziman akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir esok sebelum Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan diadakan.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengumumkan pembubaran DUN negeri itu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan