"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PN sah bertanding 56 kerusi DUN

MOHD SHARKAWI LONDING

JOHOR BAHRU – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal memaklumkan parti itu akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan pembubaran DUN Johor hari ini.

Bekas ADUN Bukit Kepong itu berkata, gabungan yang terdiri daripada Bersatu, Pas, Gerakan dan Parti India Progresif Malaysia (MIPP) itu telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRN pada bila-bila masa.

Menurut beliau, PN Johor telah mengambil maklum perkembangan pembubaran DUN dan mengarahkan seluruh jentera parti di semua peringkat diaktifkan serta-merta bagi menghadapi pilihan raya.

“PN Johor bersedia bertanding di kesemua 56 kerusi DUN. Calon-calon akan terdiri daripada parti-parti komponen iaitu Bersatu, Pas, Gerakan dan MIPP.

“Kita juga telah menerima permohonan daripada beberapa parti politik lain yang berminat untuk bekerjasama dengan PN bagi menghadapi PRN Johor kali ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, gerak kerja pilihan raya telah mula digerakkan bagi memastikan PN berada dalam keadaan siap siaga sepanjang tempoh kempen nanti.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara rasmi dibubarkan berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata, perkara itu telah diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim selepas menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, pagi tadi.

“Watikah pembubaran DUN Johor Ke-15 telah diperkenankan berkuatkuasa hari ini, selaras Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.

“Pembubaran ini dibuat bagi memberi laluan kepada proses demokrasi. Keputusan ini dibuat dengan niat memastikan rakyat Johor terus memiliki kerajaan stabil dan kukuh” ,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: