"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Padah reka cerita disamun, wanita kini disiasat polis

Zainon Talip
am@hmetro.com.my

Miri: Tindakan seorang wanita mereka-reka cerita kononnya menjadi mangsa samun bersenjata memakan diri apabila siasatan polis mendapati kejadian yang dilaporkan itu sebenarnya tidak pernah berlaku.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee berkata, wanita tempatan berusia 29 tahun itu membuat laporan polis pada jam 1.58 pagi, 28 Mei lalu dengan mendakwa dirinya disamun empat lelaki yang menaiki kenderaan pacuan empat roda di tepi jalan berhadapan Gereja Miri Gospel Chapel, Pujut, sekitar jam 10 malam sehari sebelumnya.

Menurutnya, dalam laporan berkenaan, wanita itu mendakwa berhenti di lokasi terbabit untuk membuang air besar sebelum didatangi suspek yang mengacukan pistol ke arah perutnya.

"Mangsa mendakwa rantai leher emas, cincin emas, gelang emas serta wang tunai RM350 miliknya dilarikan suspek dengan jumlah kerugian dianggarkan RM3,130," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan laporan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menjalankan siasatan menyeluruh.

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati terdapat banyak percanggahan dan kelompongan dalam maklumat yang diberikan pengadu sepanjang proses siasatan dijalankan.

"Risik dan siasatan lanjut yang dijalankan berjaya menemukan bukti bahawa kejadian samun yang dilaporkan itu tidak wujud.

"Berikutan bukti yang diperoleh, pengadu akhirnya mengaku laporan polis yang dibuat adalah tidak benar dan semua barang kemas serta wang tunai yang didakwa disamun ditemui dalam simpanannya sendiri," katanya.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh pegawai penyiasat kes berkenaan terhadap wanita terbabit kerana dengan sengaja memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, polis menegaskan kepada ramai supaya tidak sesekali membuat laporan polis palsu demi kepentingan atau keuntungan diri sendiri kerana perbuatan itu satu kesalahan serius.

Tiada ulasan: