NUR SHARIEZA ISMAIL
SEREMBAN – Seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan polis, kurang enam jam selepas dipercayai menyembur cecair pemedih mata terhadap pasangan suami isteri di Seremban 2, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Yatim Osman berkata, suspek ditahan di hadapan rumahnya di Seremban kira-kira pukul 11.45 malam susulan laporan yang dibuat mangsa wanita berusia 49 tahun.
“Ketika kejadian kira-kira pukul 6 petang, mangsa bersama suaminya menaiki Perodua Bezza sebelum menyedari sebuah Honda Accord mengekori mereka. Kenderaan suspek kemudian memotong dan menghalang laluan mangsa sebelum lelaki itu keluar dan cuba memprovokasi pasangan tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, suspek kemudian mengambil sesuatu dari bahagian belakang kenderaannya sebelum menyembur cecair pemedih mata ke arah kedua-dua mangsa sehingga menyebabkan mereka pedih dan kegatalan pada mata.
Katanya, polis turut merampas sebotol semburan pemedih mata berwarna hitam buatan Amerika Syarikat yang tertera perkataan ‘Police’.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah, namun ujian saringan air kencing yang dijalankan adalah negatif,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan