Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my
Seremban: "Saya tidak ada mengemukakan atau memberikan persetujuan berkaitan surat (peletakan jawatan) untuk surat itu dikemukakan kepada ke bawah DYMM Tuanku (Muhriz Tuanku Munawir) dan saya pun tidak menghantar surat berkenaan (ke Istana Negeri Sembilan)," kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.
Beliau menjelaskan perkara itu dalam sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini, hari ini, berhubung laporan surat bertarikh 16 November 2026 berkaitan peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, yang dilaporkan diterima istana pada 12 tengah malam Selasa lalu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, memaklumkan bahawa pihaknya menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang didakwa bertarikh 16 November 2026 dan diutuskan kepada Tuanku Muhriz.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, kemudian memaklumkan bahawa pihak Istana belum mengesahkan ketulenan surat berkenaan dan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa sekiranya diperkenankan Tuanku Muhriz.
Terdahulu, Ismail tiba di Istana Hinggap di sini pada 10.18 pagi bagi menghadap Tuanku Muhriz susulan kemelut yang melanda negeri ini.
Turut tiba di istana berkenaan ialah Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Ab Hamid; Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Jelebu, Datuk Azrin Khairi.
Ismail berkata, Tuanku Muhriz menitahkan beliau meneruskan khidmat dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri terus terpelihara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu berkata, beliau akan memberikan komitmen untuk terus melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi.
"Pelantikan saya sebagai Menteri Besar adalah atas perkenan Tuanku Muhriz dan mengangkat sumpah di hadapan baginda pada 2 Ogos lalu.
"Aku janji yang dibuat di hadapan Tuanku Muhriz itu juga adalah atas kerelaannya sendiri.
"Alhamdulillah, saya diberi perkenan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz untuk meneruskan tugas-tugas sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan," katanya yang memaklumkan hasil daripada menghadap Tuanku Muhriz hari ini akan dimaklumkan kepada pucuk pimpinan UMNO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan