Hazira Ahmad Zaidi

Seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai bertindak sebagai tekong ditahan bersama 10 rakan senegaranya dalam serbuan Jabatan Imigresen di sebuah hotel di Wakaf Che Yeh. – Foto NSTP
KOTA BHARU: Seorang tekong darat warga Myanmar ditahan bersama 10 rakan senegara berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di sebuah hotel di Wakaf Che Yeh, di sini, pagi tadi.
Semua 10 PATI termasuk empat wanita itu dipercayai bekerja di Johor Bahru dan Kuala Lumpur, baru tiba di negeri ini kira-kira jam 6.30 pagi tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata , ketika ditahan dalam operasi jam 8.30 pagi itu mereka dipercayai menginap di hotel berkenaan sebagai lokasi transit.
Menurutnya, siasatan awal mendapati setiap warga Myanmar terbabit membayar RM3,500 seorang kepada tekong darat bagi membolehkan mereka dibawa keluar dari negara ini.
Tekong darat yang berusia lingkungan 30-an itu mengaku sudah empat tahun tinggal di Shah Alam, Selangor.
“Semua 11 warga Myanmar itu kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kita turut menemukan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V dipercayai digunakan untuk membawa 10 PATI, selain beberapa beg pakaian milik mereka.,” katanya selepas operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan di Kubang Kerian, di sini, hari ini.
Mengulas operasi berasingan di tapak pembinaan di Kubang Kerian, Lokman Effendi berkata 57 warga asing diperiksa sebelum 55 ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Oktober lalu, sejumlah 11,000 operasi penguatkuasaan dilaksanakan seluruh negara.
Daripada jumlah itu, lebih 146,000 warga asing diperiksa, manakala lebih 65,000 ditahan atas pelbagai kesalahan dan lebih 45,000 warga asing sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Excerpt: Seorang tekong darat warga Myanmar ditahan bersama 10 PATI senegara ketika transit di sebuah hotel di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu. Mereka dipercayai membayar RM3,500 seorang untuk dibawa keluar dari Malaysia.
Keyword: tekong darat, PATI Myanmar, pendatang asing tanpa izin, Jabatan Imigresen Malaysia, Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, RM3,500, operasi penguatkuasaan, warga asing, Akta Imigresen 1959/63, Kubang Kerian, PATI ditahan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan