"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ismail Lasim: Proklamasi 19 April tidak sah, tidak akan diwartakan

Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

Seremban: Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengulangi sumpah taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sambil menegaskan proklamasi yang dikeluarkan pada 19 April lalu adalah tidak sah, tidak mempunyai apa-apa kesan serta tidak akan diwartakan.

Beliau juga yang dilantik pada 2 Ogos lalu berkata, kerajaan negeri tidak akan menyokong, membantu atau memudahkan sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.

"Bersaksikan al-Quran, bahawasanya saya bersumpah untuk menghormati dan mengikrarkan taat setia kepada DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Institusi Diraja, melindungi dan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri, serta mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang (DKU).

"Kerajaan negeri tidak akan mengiktiraf mana-mana orang lain sebagai Yang di-Pertuan Besar atau untuk menghidupkan semula proklamasi 19 April atau apa-apa dokumen yang berkaitan.

"Saya menegaskan DYMM Tuanku Muhriz kekal bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah," katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di sini, susulan kemelut pentadbiran dan adat yang melanda negeri ini.

Turut tiba di istana berkenaan ialah Undang Luak Rembau Datuk Hassan Ab Hamid, Undang Luak Sungai Ujong Datuk Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Jelebu Datuk Azrin Khairi.

Ismail berkata, beliau tidak akan melakukan atau membenarkan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), jabatan, agensi atau pegawai kerajaan negeri terhadap apa-apa perbuatan yang mengurangkan, merampas, mengetepikan atau menjejaskan kedaulatan, jabatan, prerogatif, kuasa, hak atau keistimewaan baginda.

"Saya akur Datuk Mubarak Dohak dan Datuk Maarof Mat Rashad sudah terhenti daripada memegang jawatan sebagai Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Jelebu menurut adat luak masing-masing pada tarikh yang terpakai baginya.

"Datuk Abdul Rahim Yasin juga tidak pernah dilantik secara sah sebagai Undang Luak Rembau menurut adat yang dikehendaki, malah pelantikannya tidak pernah disempurnakan melalui istiadat menzahirkan kejadian undang," katanya.

Menurutnya, susulan perkembangan itu, ketiga-tiga individu berkenaan tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk melaksanakan apa-apa kuasa di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Katanya, beliau akan merujuk kepada Dewan di bawah Perkara 16(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan apa-apa persoalan berkenaan adat termasuk berkenaan pemilihan, penggantian, penyingkiran atau pengosongan jawatan mana-mana Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong sekiranya perlu.

"Saya aku janji tanpa berbelah bahagi untuk mengiktiraf dan melaksanakan kesemua ketetapan Dewan baik yang telah dibuat mahupun yang akan dibuat termasuklah mewartakan ketetapan Dewan secepat mungkin apabila perlu.

"Saya juga akan memastikan kerajaan negeri berhenti memberikan pengiktirafan keutamaan, emolumen, kediaman, kakitangan dan keistimewaan jawatan Undang kepada mana-mana yang orang yang menurut nasihat dan ketetapan Dewan sebagai tidak memegang jawatan," katanya.

Ismail berkata, beliau akan memastikan balai setiap luak serta pengiktirafan kediaman, emolumen, kakitangan dan keistimewaan jawatan disediakan pada setiap Undang yang menurut nasihat dan ketetapan Dewan sebagai memegang jawatan itu.

"Kemudahan pengiktirafan dan keistimewaan itu akan disediakan dengan segera dan tidak akan ditangguhkan," katanya.

Tiada ulasan: