"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Tragedi ambil bola, kanak-kanak lelaki lapan tahun maut dilanggar lori

Zaid Salim
am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut dirempuh lori ketika mengambil bola yang terpelanting ke jalan raya, di Jalan Surau Cik Man, Kampung Surau Haji Daud, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, mangsa yang juga murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Ikan, di sini, dikatakan dari arah rumahnya, tiba-tiba berlari ke jalan raya untuk mengambil bola sebelum dilanggar sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati lori jenis Nissan itu sedang bergerak dari Kampung Surau Haji Daud menghala ke Kampung Tok Dir, di sini.

Menurutnya, mangsa dipercayai memasuki laluan lori berkenaan untuk mengambil bola di atas jalan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pemandu lori berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk tindakan lanjut dan bedah siasat dijalankan pada jam 8.30 malam ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: