Malaysiakini
Naib Pengerusi DAP Syahredzan Johan mempersoalkan sama ada Umno cuba memperdayakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berhubung pengumuman peletakan jawatan Menteri Besar Ismail Lasim.
Ahli Parlimen Bangi itu membangkitkan persoalan tersebut selepas Ismail menafikan mengemukakan atau memberikan persetujuan supaya surat peletakan jawatan bertarikh 16 November diserahkan kepada baginda.
"Empunya badan tidak pernah hantar surat, tidak pernah bersetuju surat dihantar tetapi dijaja konon sudah melepaskan jawatan.
"Sebelum ini cuba singkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, kini cuba perdayakan pula? Umno perlu jawab," katanya dalam hantaran di media sosial, hari ini.
Syahredzan berkata kenyataan beberapa pemimpin Umno memberi gambaran Ismail sudah melepaskan jawatan.
"Semua tindakan ini adalah berasaskan suatu perkara yang terbukti tidak benar. Datuk Ismail Lasim tidak pernah letak jawatan.
"Adakah Umno cuba untuk memperdayakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan rakyat dalam hal ini?" soalnya.
Ismail hari ini mengesahkan Tuanku Muhriz menitahkannya meneruskan khidmat sebagai menteri besar selepas sesi menghadap pagi tadi.
Dalam sidang media di kediaman rasminya di Seremban, Ismail turut melafazkan ikrar taat setia kepada baginda.
Ismail turut mengakui surat berkenaan wujud dan berada dalam simpanan pimpinan parti, namun menegaskan dia tidak pernah bersetuju supaya surat itu dihantar kepada baginda dalam keadaan sedemikian.
Pada 16 November, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abd Kadir mengumumkan peletakan jawatan Ismail.
Menurut Zambry, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menerima salinan surat peletakan jawatan bertarikh hari sama yang ditujukan kepada Tuanku Muhriz dan akan mengemukakan cadangan calon pengganti kepada baginda.
Bagaimanapun, Malaysiakini pada 17 November melaporkan dakwaan seorang sumber yang menafikan Ismail meletak jawatan atau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada istana.
Pada hari sama, Istana Negeri Sembilan memaklumkan surat berkenaan diterima di Istana Hinggap pada 12.16 pagi, tetapi ketulenannya belum disahkan. Menurut istana, seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil firma guaman menyerahkan surat itu.
Istana turut menegaskan peletakan jawatan menteri besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Ismail mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada 2 Ogos lalu selepas BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala Perikatan Nasional memperoleh tujuh kerusi pada pilihan raya negeri ke-16.
Pada September, Ismail mengesahkan barisan exco sebulat suara menyokong proklamasi yang mendakwa menurunkan takhta Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, pada 14 November, Ismail mengesahkan dia bersama 10 bekas exco menarik balik kandungan surat bertarikh 17 September kepada Raja-Raja Melayu serta pendirian mereka yang mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan