"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis siasat perarakan bawa replika senjata

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis Terengganu menyiasat perarakan dalam satu program perhimpunan pemuda sebuah parti politik selepas pesertanya didapati membawa replika senjata seperti pedang, lembing dan perisai sehingga menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai program tersebut tetapi tidak diberitahu adanya perarakan membawa replika senjata seperti itu.

“Kejadian berlaku pada 17 Feb lepas di sebuah kawasan resort di Setiu. Perarakan itu merupakan salah satu dari acara yang dipertandingkan pada program itu iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kesalahan-kesalahan yang dilakukan dalam program perarakan tersebut dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata program itu disertai setiap daerah di Terengganu dengan hanya satu kumpulan mengenakan pakaian sambil membawa replika senjata.

Awal hari ini, tular di media sosial gambar sekumpulan lelaki dipercayai ahli PAS berarak menggunakan pedang, lembing dan perisai.

Difahamkan, perarakan itu berlaku pada Jumaat, di Setiu, Terengganu, pada acara pembukaan sempena perkumpulan Pemuda PAS negeri itu yang berlangsung selama dua hari.

Penganjur Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023) berkata, peserta perbarisan itu hanya memakai pakaian seragam perang era zaman sahabat dan bagi memenuhi tema perarakan mereka.

Tiada ulasan: