"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wan Saiful didakwa terima rasuah berkaitan Jana Wibawa

Shakira Buang

Ketua Penerangan Bersatu merangkap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah berhubung dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Sehubungan itu, pemimpin PN itu memohon dibicarakan apabila pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, di hadapan hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek 'Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur' daripada kerajaan Malaysia secara pra kelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232,000,000.

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala Wan Saiful diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Wan Saiful tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi.

Dia tiba pada jam 8.45 pagi tadi dengan berpakaian sut hitam tetapi tanpa bertali leher.

Wan Saiful sempat memberikan senyuman ke arah pengamal media dan juga sebilangan penyokongnya yang berkumpul di pekarangan mahkamah.

Hadir sama adalah beberapa pemimpin Bersatu, termasuk bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin dan naib presidennya, Radzi Jidin.

Selain Wan Saiful, seorang CEO sebuah syarikat yang dikenali sebagai Adam Radlan Adam Muhammad, juga dijangka didakwa bersama pada pagi ini.

Kedua-dua mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, malam tadi.

Difahamkan sebelum itu, Wan Saiful dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat SPRM. 

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri,  Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata Kementerian Kewangan (MoF) mengarahkan pelaksanaan projek Jana Wibawa ditangguhkan untuk meneliti semula jika tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan perbendaharaan.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dipetik sebagai berkata, penangguhan projek bernilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan secara tender terpilih atau runding terus.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin sebelum ini juga mengesahkan dia  sudah memberi keterangan kepada SPRM mengenai projek Jana Wibawa.

Tiada ulasan: