Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my
Bilik di mana mangsa didakwa dikurung oleh dua lelaki Bangladesh yang juga jiran. - Foto tular.
MELAKA: Dipukul dengan tukul besi di kepala hingga pengsan sebelum dikurung dalam bilik sebuah pangsapuri dengan kaki dan tangan diikat.
Itu nasib gadis orang kurang upaya (OKU) lembam disyaki diculik dan dikurung dua lelaki warga Bangladesh yang juga jirannya ketika keluar berjoging.
Mangsa berusia 22 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh keluarganya yang membuat pencarian di seluruh pangsapuri di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.53 malam.
"Mangsa mendakwa ditarik dua lelaki itu ke dalam sebuah rumah ketika berjalan seorang diri di belakang pangsapuri terbabit, kira-kira jam 7 malam.
"Dia kemudian dipukul dengan tukul di kepala hingga pengsan, kaki dan tangan diikat dengan wayar pengecas telefon bimbit.
"Kehilangan mangsa disedari keluarganya selepas dia tidak pulang ke rumah lalu mereka mencari bersama jiran tetangga di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Christopher berkata, siasatan mendapati tempat kejadian adalah sebuah pangsapuri di tingkat bawah mempunyai tiga bilik tidur dan dijadikan asrama warga asing yang bekerja sebagai buruh binaan.
"Tiada rakaman kamera litar tertutup di kawasan itu mahupun saksi yang melihat kejadian berlaku. Siasatan di tempat kejadian oleh anggota forensik juga tidak menemui sebarang kesan darah.
"Bagaimanapun kita menemui sebatang tukul besi dan wayar pengecas telefon yang dipotong di lokasi," katanya sambil memaklumkan mangsa dirawat di zon hijau Hospital Melaka dan keadaannya stabil serta tidak serius.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, polis menjalankan siasatan dan menahan dua suspek, masing-masing berusia 20 serta 36 tahun di Jalan BBP, Taman Batu Berendam Putra 2, kelmarin.
Mereka direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 dan 342 Kanun Keseksaan.
Kes itu turut tular apabila gambar kejadian dikongsikan di media sosial sejak semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan