"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Israel lancar serangan udara 'amat ganas' di selatan Beirut

Bharianonline
Kepulan asap dan api menjulang di kawasan yang menjadi sasaran serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut. - Foto AFP
Kepulan asap dan api menjulang di kawasan yang menjadi sasaran serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut. - Foto AFP
BEIRUT: Media rasmi Lubnan melaporkan Israel melakukan lima serangan udara di selatan Beirut dan kawasan sekitarnya pada malam tadi dan empat daripada serangan berkenaan dikatakan 'amat ganas'.

Dalam pada itu, wartawan AFP turut mendengar beberapa letupan berlaku selama sejam dan asap tebal turut dilihat, susulan serangan yang masih berterusan sehingga pagi tadi.

"Pesawat Israel melancarkan empat serangan yang amat ganas di kawasan selatan Beirut serta satu serangan di kawasan Chweifat, manakala ambulans dapat dilihat bergegas ke lokasi kejadian, lapor Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA).

Kawasan pinggir Beirut, kubu kuat kumpulan Hizbullah, menjadi sasaran utama Israel sejak minggu lalu, yang turut membunuh pemimpinnya, Sayyed Hassan Nasrallah dan mungkin juga penggantinya, Hashem Safieddine.

Sumber keselamatan Lubnan pada Sabtu menyatakan bahawa Hashem tidak dapat dihubungi sejak Jumaat, selepas serangan udara Israel berhampiran lapangan terbang antarabangsa bandar itu yang dilaporkan menyasarkan beliau.

Serangan Israel sejak Jumaat di Dahiyeh, kawasan kediaman dan kubu kuat Hizbullah di selatan Beirut, menghalang pasukan penyelamat daripada meneruskan pencarian di lokasi serangan pada malam Khamis.

Israel memperluaskan tindakannya di Lubnan, dan pada Sabtu, ia melancarkan serangan pertamanya di bandar Tripoli di utara, menurut seorang pegawai keselamatan Lubnan selain serbuan di selatan Lubnan.

Sekurang-kurangnya lapan serangan melanda kawasan pinggir bandar selatan Beirut lewat Sabtu sehingga pagi tadi, termasuk berdekatan dengan lapangan terbang.

Rakaman AFP turut menunjukkan kepulan asap naik daripada kawasan yang disasarkan dalam serangan terbabit.
Kepulan asap dan api menjulang di kawasan yang menjadi sasaran serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut. - Foto AFP
Kepulan asap dan api menjulang di kawasan yang menjadi sasaran serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut. - Foto AFP
Di salah satu lokasi di selatan Beirut, api menjulang ke udara sementara pancaran suar kelihatan di tengah-tengah kepulan asap tebal selama kira-kira satu jam.

Seorang wartawan AFP di kawasan Sabra yang berhampiran dengan selatan Beirut, melihat puluhan orang berada di jalanan, sebahagian mereka membawa beg dan melarikan diri dengan berjalan kaki serta menaiki motosikal, sementara bunyi letupan berterusan di kawasan terbabit

NNA melaporkan bahawa trafik udara di satu-satunya lapangan terbang Lubnan di Beirut, berdekatan dengan kawasan yang disasarkan, masih beroperasi walaupun berlaku serangan Israel di kawasan selatan.

Ia turut melaporkan, beberapa pesawat Middle East Airlines selamat mendarat dilapangan terbang berkenaan.

Semalam, tentera Israel mengumumkan satu lagi amaran kepada penduduk untuk berpindah dari kawasan selatan Beirut kerana mahu menyasarkan kedudukan pejuang Hizbullah di ibu negara Lubnan itu.

Jurucakap Tentera Israel, Avichay Adraee, memuat naik amaran itu di media sosial, bersama imej satelit yang menandakan kawasan di Burj el-Barajneh, Haret Hreik, dan Chweifat al-Amrussiy

"Demi keselamatan anda dan ahli keluarga, semua perlu segera mengosongkan bangunan yang ditetapkan dan kawasan berhampiran serta menjauhinya sekurang-kurangnya 500 meter," katanya.

Terdahulu, Hizbullah dan Israel saling melakukan serangan rentas sempadan hampir setiap hari selama setahun susulan daripada perang di Gaza.

Bagaimanapun, sejak 23 September lalu, Israel melancarkan serangan udara yang dahsyat terhadap Lubnan, menyebabkan lebih 1,110 orang terbunuh dan memaksa lebih sejuta penduduk meninggalkan kediaman mereka. - AFP

Tiada ulasan: