Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my
Selama: Warga emas ditahan polis bagi membantu siasatan selepas dipercayai melepaskan tembakan ke atas seorang penagih dadah yang mencuri kelapa sawit miliknya di Kampung Sumpit Beras, disini, semalam.
Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Sarudin Samah, berkata sebelum itu, polis menerima maklumat daripada bahagian kecemasan Hospital Selama yang memaklumkan seorang lelaki cedera pada kaki kiri akibat ditembak, pada 7.50 petang Jumaat lalu.
Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 32 tahun bersama rakannya 26 tahun, masuk ke kebun berkenaan pada 5 petang dengan membawa lori untuk mencuri kelapa sawit sebelum terkena tembakan.
Susulan itu, katanya, suspek berusia 62 tahun ditahan 3 petang semalam untuk membantu siasatan.
"Turut ditahan adalah rakan mangsa yang menghantar mangsa ke hospital selepas didapati terbabit sama dalam kegiatan berkenaan.
"Soal siasat ke atas suspek mendapati dia tidak pernah memiliki sebarang lesen senjata api sebelum suspek membawa polis dan menunjukkan tempat senjata itu disorok," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan polis menemui senjata jenis senapang patah yang dibalut dengan kain batik dan disorok di dalam guni plastik dan ditinggalkan pada pokok kelapa sawit di dalam kebun berkenaan.
Katanya, suspek memiliki senjata api berkenaan sejak 10 tahun lalu yang dibeli dari seorang kenalan kampung dengan harga RM 1,200 lengkap peluru penabur.
"Suspek memaklumkan penjualnya sudah meninggal dunia dan semakan rekod jenayah lampau juga suspek turut pernah ditahan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971.
"Selain itu kebun seluas lapan ekar yang diusahakan juga adalah kebun haram yang tidak mempunyai pemilikannya," katanya.
Sarudin berkata suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini manakala rakan mangsa dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan