Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan di Taman Ayer Hitam, Dengkil awal pagi ini. - Foto ihsan Jabatan Imigresen
PUTRAJAYA: Kawasan setinggan yang didiami warga asing di Taman Ayer Hitam, Dengkil di sini, diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dalam Operasi Pintu, awal pagi ini.
Dalam serbuan jam 3.30 pagi itu, rata-rata penghuni sedang tidur dan tidak menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Ketika pemeriksaan dilakukan dari rumah ke rumah, terdapat warga asing cuba menyembunyikan diri di sebalik langsir dan enggan membuka pintu sebelum akur apabila dipujuk anggota penguat kuasa.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin, berkata operasi yang diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Selangor, Johari Supardi disertai oleh 152 pegawai dan anggota.
"Seramai 89 warga asing diperiksa dengan 49 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan.
"Mereka yang ditahan kebanyakannya warga Indonesia dan Myanmar berusia antara 17 hingga 55 tahun membabitkan 30 lelaki serta 19 wanita," katanya dalam kenyataan selepas operasi ditamatkan, hari ini.
Khairrul berkata, antara kesalahan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dikesan dalam operasi itu adalah tiada dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa.
"Operasi itu dilakukan hasil risikan dijalankan selama beberapa minggu lalu selepas menerima aduan awam yang memaklumkan mengenai keberadaan warga asing di lokasi ini.
"Ini adalah serbuan kali pertama dijalankan Imigresen dalam tempoh tiga tahun dan kita akan mempergiatkan usaha membanteras pati di Selangor," katanya.
Katanya, kesemua ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63
Tiada ulasan:
Catat Ulasan