"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lagi kes jenazah ‘ditahan’ sebab tak cukup duit

KOSMO!
Pendedahan yang dikongsikan di Facebook Mr Wan Cai Official, semalam.
PETALING JAYA – Belum reda kisah kematian seorang bayi lelaki disimpan sehingga beku, semalam muncul pula pendedahan baharu mengenai jenazah wanita dikatakan ditahan hampir 24 jam gara-gara suaminya tidak cukup wang.

Menerusi perkongsian di Facebook Mr Wan Cai Official, pihaknya mendedahkan terdapat kartel jenazah yang mengambil kesempatan mengenakan caj pengurusan terlalu tinggi kepada lelaki tersebut sehingga proses pengebumian jenazah isterinya tergantung.

Katanya, pasangan tersebut merupakan mualaf dan berstatus asnaf serta si suami adalah kategori orang kelainan upaya (OKU).

“Kisah berlaku pada 12 November lalu apabila seorang wanita disahkan meninggal dunia di unit kecemasan sebuah hospital swasta di Ampang dan bil hospital RM5,500.

“Bagaimanapun, pihak hospital memaklumkan boleh bayar kemudian dan meminta waris menguruskan jenazah wanita tersebut terlebih dahulu,” katanya.

Bercerita lanjut, pengendali Facebook tersebut berkata, beberapa jam kemudian, secara tiba-tiba muncul dua individu yang mendakwa mereka dihubungi pihak hospital untuk menawarkan khidmat pengurusan jenazah.

“Van sudah siap dibawa. Harga urus jenazah yg ditawarkan RM500 mulanya, suami arwah setuju dan jenazah dibawa ke masjid dan selepas selesai mandi, kafan sekitar 4 petang, tiba-tiba harga berubah dan naik anggaran RM2,000.

“Sehinggalah pukul 2 petang 13 Disember, jenazah tersebut ‘ditahan’ tanpa perikemanusiaan,” jelasnya.

Bagaimanapun, pengendali itu memaklumkan, jenazah wanita itu kemudiannya dibantu oleh pasukan sukarelawan Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Raudatul Sakinah Kuala Lumpur – Karak pada Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: