"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penyertaan Tengku Zafrul ke PKR boleh cetus dilema

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Cakap-cakap penyertaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tengku Zafrul Aziz ke PKR boleh mencetuskan dilema dalam kerajaan perpaduan jika menjadi realiti, kata penganalisis.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata tindakan seumpama itu pastinya menimbulkan reaksi negatif Barisan Nasional (BN) sekali gus memberi kesan kepada hubungan antara parti komponen kerajaan perpaduan yang terbentuk pasca PRU15.

“Ia boleh cetuskan dilema kerana ahli berpindah ke parti lain dalam kerajaan perpaduan, lainlah kalau Tengku Zafrul sertai PAS,” katanya kepada FMT sambil menjangkakan tidak mudah untuk Tengku Zafrul menonjolkan diri dalam PKR kelak.

“Tengku Zafrul walaupun ditatang dengan baik dalam Umno dan diberi jawatan, namun tetap berdepan masalah hendak dapat sokongan akar umbi.

“Kalau betul sertai PKR pun nasibnya mungkin sama, perlu ada sokongan akar umbi untuk terus menonjol,” katanya.

Namun, Muhamad Tawfiq Yaakub dari Universiti Malaya pula berpendapat Tengku Zafrul boleh mengharungi cabaran dalam PKR jika menyertai parti itu, sama seperti beliau masih kekal dalam Kabinet di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri Yaakob dan terkini Anwar Ibrahim.

Tengku Zafrul dilantik menteri kewangan di bawah pentadbiran Muhyiddin dan Ismail Sabri manakala kini sebagai menteri pelaburan, perdagangan dan industri.

Menurut Tawfiq, selain difahamkan mempunyai hubungan baik dengan istana, ketua Umno Kota Raja itu juga mempunyai prestasi cemerlang dan tidak terpalit kontroversi.

“PKR dan Selangor perlu menteri besar mempunyai ciri-ciri seperti beliau, apatah lagi Amiruddin kini adalah naib presiden yang sepatutnya berkhidmat dalam Kabinet persekutuan,” katanya mengulas khabar angin itu yang dikaitkan perubahan peneraju pentadbiran negeri paling maju terbabit.

Namun, Amirudin malam tadi menegaskan beliau akan kekal di negeri itu sehingga ke akhir penggal ini demi menjamin kestabilan ekonomi dan kerajaan perpaduan seperti dinasihatkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Adun Sungai Tua itu mula duduk di kerusi menteri besar Selangor sejak 2018, menggantikan bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali yang dilantik menteri persekutuan di bawah era pentadbiran kedua Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pasca PRU14.

Tawfiq juga menepis kebimbangan penyertaan Tengku Zafrul yang terkenal dengan pembabitan dalam sektor korporat dan kewangan akan menjejaskan kerjasama kerajaan perpaduan kerana beliau tidak meninggalkan parti dengan sebarang kerosakan atau kontroversi.

“Bagi saya syak wasangka sukar berkembang dalam era kerajaan perpaduan selagi ada Anwar menjadi ketua, beliau sebelum ini telah hapuskan sentimen itu antara Umno dengan DAP sehingga terbentuk pentadbiran stabil,” katanya.

Beliau juga berpendapat kenyataan Presiden Umno Zahid Hamidi semalam, mengingatkan pemimpin parti itu tidak termakan tawaran bersifat kepentingan individu, seolah-olah menguatkan spekulasi berkait Tengku Zafrul ke PKR.

“Bagi saya bukan soal tawaran tetapi kelangsungan politik lebih penting kepada Tengku Zafrul, kedudukan senator beliau juga akan tamat tahun 2025 dan beliau tidak boleh tunggu pilihan raya yang lama lagi untuk terus kekal relevan,” katanya.

Tiada ulasan: