Bernama
BANGKOK: Seorang penyokong bola sepak Malaysia cedera selepas diserang ketika meninggalkan Stadium Nasional Rajamangala selepas perlawanan Kumpulan A Piala Asean 2024 antara Thailand dan Malaysia malam semalam.
Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui berkata penyokong yang cedera itu menerima rawatan di Hospital Samitivej Srinakarin dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata seorang pegawai daripada kedutaan Malaysia berkunjung ke hospital berkenaan namun tidak dapat bertemu dengan mangsa.
“Kami dimaklumkan oleh pihak hospital yang mangsa dibenarkan keluar dan telah pulang ke Malaysia,” katanya kepada Bernama pada Ahad.
Identiti penyokong Malaysia itu tidak didedahkan bagi menghormati privasi beliau.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand, Nualphan Lamsam berkata pasukan hal ehwal antarabangsa persatuan tersebut telah memberikan bantuan dan menanggung kos perubatan untuk memastikan kebajikan penyokong yang cedera itu semasa berada di luar negara.
“Pasukan perubatan melakukan imbasan CT secara terperinci ke atas kepala mangsa dan mencadangkan agar beliau terus dirawat semalaman untuk berunding dengan pakar ortopedik.
“Bagaimanapun, atas permintaan untuk kembali ke Malaysia, mangsa memohon untuk pulang bagi rawatan lanjut,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata insiden tersebut diserahkan kepada pasukan keselamatan dan polis tempatan untuk siasatan lanjut.
Dalam perlawanan Kumpulan A pada Sabtu malam, Thailand menewaskan Malaysia 1-0 menerusi gol tunggal oleh penyerang Thailand, Patrik Gustavsson, pada minit ke-57.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan