Zuliaty Zulkiffli
JITRA: Seorang lelaki dan anak perempuannya berusia 16 tahun serta seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki sebagai ‘transporter’ membawa 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke negara ini.
Lelaki berusia 47 tahun itu sanggup membawa anak perempuannya itu bersama rakannya berusia 40-an untuk membawa PATI berkenaan ke destinasi ditetapkan dengan upah yang lumayan.
Mereka ditahan pada Rabu lalu jam 4 pagi di Plaza Tol Jitra arah selatan oleh Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dalam operasi Op Taring Delta.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, ketika ditahan suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV).
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu mendapati, terdapat 16 orang PATI iaitu sembilan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 16 hingga 35 tahun dipercayai warga Myanmar.
"Modus operandi yang digunakan transporter itu ialah menggunakan kenderaan yang disewa.
"Hasil siasatan mendapati, suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak Ogos lalu dan siasatan masih dilakukan sama ada remaja perempuan itu masih bersekolah atau tidak, " katanya pada sidang media di IPD Kubang Pasu, semalam.
"Susulan itu, kita berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 30-an yang disyaki berperanan ketua sindiket di Nibong Tebal, Seberang Perai Utara Selatan, Pulau Pinang pada hari berikutnya.
"Hasil siasatan mendapati, dua suspek rakyat tempatan itu mempunyai dua rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga mereka adalah negatif," katanya.
Semua suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari sehingga 11 Februari depan manakala bagi tangkapan warga asing pula direman 14 hari di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan