"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemimpin, individu berprofil tinggi negara ramai sembunyi ‘wang kotor’, aset di Asia Barat

Ilah Hafiz Aziz

KUALA LUMPUR: Ramai rakyat Malaysia termasuk pemimpin terkenal dikesan mula mengumpul dan menyembunyikan kekayaan yang diperoleh melalui ‘wang kotor’ di sebuah negara di Asia Barat, yang kini bergelar destinasi selamat yang baharu bagi individu korup dan jenayah penggubahan wang haram dunia.

Memetik laporan BH, difahamkan, destinasi ‘safe haven’ bagi jenayah kewangan itu kini juga dikesan mula menggantikan beberapa buah negara maju yang terpalit dengan aktiviti kewangan meragukan itu.

Negara itu dikesan bukan sahaja mengalu-alukan kehadiran orang kaya dan kenamaan dari seluruh dunia malah penggubah wang haram dari serata dunia untuk mengelakkan perbuatan itu sukar diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

BH difahamkan, dasar ‘ketebukaan’ yang diamalkan oleh negara itu juga kini menarik minat kenamaan berprofil tinggi dan penjenayah kewangan Malaysia yang mula menyembunyikan dana dan memiliki aset sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Siasatan terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mendedahkan, beberapa individu berprofil tinggi termasuk seorang bekas pemimpin terkemuka menjadi antara yang dikesan mempunyai aset mewah.

Pemimpin itu dipercayai membeli aset itu secara tunai di negara itu, berkemungkinan menggunakan dana yang tidak diisytiharkan di Malaysia.

Selain itu, kekangan perundangan di negara itu juga menjadi punca individu-individu yang dikehendaki atas kes rasuah atau jenayah kewangan sukar dikenakan tindakan undang-undang dan masih bebas sehingga kini.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengakui negara itu kini menjadi pilihan berbanding sebuah lagi negara di Asia.

Beliau berkata, beberapa faktor menjadi punca negara itu menjadi destinasi penggubahan wang haram antaranya adalah keterbukaannya untuk menerima dana-dana yang meragukan daripada entiti dan individu tertentu.

“Kebelakangan ini kita mengesan negara itu menjadi tumpuan mereka yang terbabit dalam aktiviti kewangan yang meragukan seperti penggubahan wang haram.

“Di sana mereka boleh membawa tunai malah boleh menyimpan dana-dana itu dalam bank dan disebabkan itu ia menjadi pilihan (mereka yang terbabit jenayah kewangan), termasuklah daripada Malaysia,” katanya kepada BH, di sini.

Dalam perkembangan itu, Azam berkata, kebanyakan negara seperti Malaysia menolak untuk menerima dana yang meragukan dan tertakluk kepada ‘compliance money laundering’.

“Tetapi di sana mereka tidak mengamalkan dasar itu dan dalam kes yang kita siasat, ada kenamaan berprofil tinggi yang terkenal mempunyai aset mewah di sana juga. Siasatan mendapati dia membeli aset itu secara tunai,” katanya.

Sementara itu siasatan BH mendapati, antara punca negara itu menjadi tumpuan penjenayah kewangan dan individu kerana pasaran hartanah mewah yang tidak telus dan kemampuan untuk pemilikan asing sehingga 100 peratus.

Malah meskipun terdapat kawal selia yang mewajibkan pelaporan transaksi di negara ini, penjenayah kewangan terus mengeksploitasi sektor ini dengan mengambil kesempatan daripada penguatkuasaan yang longgar, ketelusan yang terhad dan jurang peraturan, sekali gus membolehkan dana haram ditukar kepada aset fizikal bernilai tinggi.

Agensi menentang rasuah dunia, Transparency International juga pernah mengeluarkan amaran mengenai negara ini kerana dikesan mempunyai ‘red flags’ untuk menjadi pasaran terbuka bagi penggubahan wang haram serta tempat perlindungan selamat bagi insan yang korup.

Menurut laporan itu, sektor kewangan negara berkenaan bersifat tertutup dan dikawal selia secara lemah, pasaran hartanah mewah yang tidak telus dan pemantauan serta penguatkuasaan yang kurang, menjadikan ia sebagai destinasi ideal untuk menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada penjenayah di seluruh dunia.

Malah laporan juga menunjukkan individu yang berada di bawah sekatan antarabangsa menjadikan negara itu sebagai tempat perlindungan selamat, malah laporan menunjukkan terdapat tokoh jenayah terancang dan ahli politik dari pelbagai ceruk dunia membeli hartanah di situ.

Tiada ulasan: