Abdul Rahemang Taiming
LAHAD DATU: Dua lelaki yang mengaku bersalah melakukan samun berkumpulan selepas salah seorang daripada mereka menyamar sebagai anggota polis masing-masing dihukum penjara 10 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hukuman itu diputuskan Hakim Suhailla Selag terhadap Azwan Ibnu, 31, dan Francisco V Dagalea, 32, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan samun terhadap seorang lelaki warga asing sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang berjumlah RM1,050.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa sedang berehat sambil bermain telefon bimbit di kaki lima rumahnya di Batu 8, Jalan Silam, di sini kira-kira 8.30 malam, 18 Oktober lalu.
Mangsa didatangi dua lelaki tidak dikenali sebelum Francisco memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis yang kemudian secara tiba-tiba bertindak menggari tangan mangsa.
Kedua-dua lelaki itu kemudian meminta wang RM1,500 sebagai syarat untuk melepaskan mangsa dengan mendakwa mangsa terbabit dalam beberapa kes jenayah berkaitan dadah.
Bimbang anaknya dibawa ke balai polis, bapa mangsa kemudiannya menyerahkan keseluruhan wang simpanannya berjumlah RM1,050 kepada kedua-dua lelaki berkenaan.
Mangsa kemudian dilepaskan sebelum kedua-dua lelaki itu beredar dari lokasi bersama Azwan yang menunggu di dalam kereta.
Hasil siasatan polis mendapati Azwan berperanan menunggu di dalam kereta, manakala Francisco bersama seorang lagi lelaki yang masih bebas masuk ke rumah mangsa untuk melakukan perbuatan berkenaan.
Kedua-dua tertuduh kemudian ditahan pada 22 Oktober lalu hasil kawad cam yang dijalankan pihak polis susulan laporan dibuat mangsa.
Dalam rayuan mitigasi, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan atas alasan mempunyai tanggungan keluarga serta menyesali perbuatan mereka.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan