Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my

PEMANDU lori ditahan dan dirampas 9,920 peranti vape dirampas di Kota Bharu. FOTO ihsan PGA
Kota Bharu: Seorang pemandu lori ditahan manakala 9,920 peranti vape pelbagai jenis dan jenama bernilai RM793,600 dirampas dalam serbuan di Jalan Sultanah Zainab, di sini, awal pagi tadi.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, kejayaan itu dilakukan sepasukan anggota Strike Force Kompeni B Batalion 7 PGA Kuantan dibantu anggota Risik Batalion 7 menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada jam 6.30 pagi.
Beliau berkata sebelum penahanan dan rampasan itu, pihaknya mengekori serta menahan sebuah lori jenis Isuzu warna putih di tepi jalan berkenaan selepas menerima maklumat awal.
Katanya, hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori itu menemui beberapa kotak coklat mengandungi peranti vape.
"Sebanyak 9,920 peranti vape pelbagai jenis dan jenama serta sebuah lori dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM943,600. Pemandu lori berusia 38 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan barangan terbabit.
"Siasatan awal mendapati, lelaki itu menerima upah RM280 untuk membawa peranti vape itu dari Kuala Lumpur dan urusan penerimaan barangan itu dilakukan di Kota Bharu.
"Peranti vape itu kemudian akan dihantar ke Kampung Telaga Bata, Tumpat dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran, Thailand," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, pemandu lori yang ditahan itu bersama rampasan berkenaan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja MPKB 1896 (Pindaan) 200 - UUK 3 kerana menjaja tanpa lesen MPKB yang sah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan