Shakira Buang
Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Nor berkata isu pengislaman pelajar sekolah bukan Islam perlu dirujuk kepada pakar perundangan.
“Saya bukan pakar undang-undang, apa yang pasti kita perlu merujuk pakar undang-undanglah dalam perkara ini.
"Terutama sekali di setiap negeri kita ada penasihat undang-undang kita sendiri, jadi eloklah kita rujuk dan minta pandangan mereka,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan yang dibangkitkan sebuah NGO berhubung dakwaan cubaan mengislamkan pelajar sekolah bukan Islam tanpa kebenaran keluarga.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan gesaan Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) agar pihak berkuasa agama dan Kementerian Pendidikan menyiasat perkara itu, selepas pendakwah Firdaus Wong memuat video di TikTok, yang memaparkan dia menasihati seorang lelaki tentang cara menangani permintaan untuk memeluk Islam daripada beberapa remaja.
Presiden GHRF S Shashi Kumar berkata tindakan itu mengabaikan hak ibu bapa untuk menentukan agama anak-anak mereka yang di bawah umur 18 tahun.
Dia berkata penukaran agama yang menyalahi undang-undang adalah isu serius yang perlu ditangani untuk melindungi hak golongan bawah umur, selain menegakkan standard etika dalam penukaran agama.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata dari sudut pandangan agamawan, usaha mengislamkan mereka yang mahu memeluk agama itu tidak boleh dihalang namun ada kaedah tertentu jika seseorang itu tidak mendapat kebenaran keluarga.
“Kita tak boleh halang bukan Islam nak masuk Islam dan kalau kita (halang mereka dan) andai kata dia (bukan Islam itu) meninggal dunia di saat dia nak masuk Islam tapi kita halang, kita yang akan dipertanggungjawabkan nanti,” katanya, sambil menyatakan ada dua peringkat bagi mereka yang tidak mendapat keizinan keluarga.
“Saya cadangkan supaya pengislaman dibuat dua peringkat. Pertamanya dibuat secara tidak rasmi dengan saksi secukupnya, kalau berlaku kematian kita ada bukti (dia menukar agama) dan jenazahnya boleh diuruskan mengikut cara Islam.
“Peringkat kedua, yang secara rasmi itu boleh ditangguhkan sehinggalah kita dapat menyakinkan keluarga, mungkin melalui rundingan dan sebagainya kerana kita mahu jaga keharmonian antara anak dan ibu bapa,” katanya.
Awal minggu ini, Firdaus memuat naik video di TikTok memaparkannya terlibat dalam sesi soal jawab pada satu majlis.
Seorang lelaki, dipercayai juga seorang pendakwah agama, bertanya kepadanya tentang apa yang perlu dilakukan apabila remaja bukan Islam di bawah umur mahu memeluk Islam.
Firdaus menjawab remaja itu sepatutnya dialu-alukan untuk memeluk Islam tetapi pengislaman mereka tidak boleh didaftarkan atau diumumkan. Dia turut berkongsi nasihat tentang bagaimana remaja itu boleh mengamalkan Islam secara berhemah supaya mereka dapat merahsiakannya daripada orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan