FMT Reporters
Warga Rohingya yang ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen pada Sabtu lepas, disyaki terbabit dalam kegiatan menyeludup orang. (Gambar Jabatan Imigresen Malaysia)
PETALING: Enam warga Rohingya disyaki terbabit dengan kegiatan menyeludup orang ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen di sekitar Kota Bharu, Kelantan, pada Sabtu lepas.
Operasi berkenaan dijalankan Pasukan Taktikal Khas Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Kelantan.
Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh berkata, kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 24 hingga 35 tahun.
Berdasarkan aduan awam dan hasil risikan selama tiga minggu, katanya, pasukan operasi yang diatur gerak bertembung dengan sebuah Proton Wira dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.
“Suspek kemudiannya memecut kenderaan setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi berjaya dipintas dan ditahan di Terminal Bas Ekspres Kota Bharu,” katanya, lapor Bernama.
“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menahan dua lelaki Rohingya disyaki ‘transporter’ dan ‘pembantu’ bersama dua lagi lelaki (juga Rohingya) disyaki akan dibawa ke Kuala Lumpur.”
Ruslin berkata, hasil soal siasat, pasukan operasi memeriksa kediaman di sekitar Kota Bharu dan menahan dua lagi lelaki warga Rohingya disyaki akan dibawa ke Kuala Lumpur.
Katanya, semakan awal mendapati, empat lelaki warga Rohingya itu memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), manakala dua lagi lelaki tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Beliau berkata, sindiket itu menjalankan kegiatan menyeludup masuk pendatang Rohingya melalui laluan haram di sempadan.
Mereka kemudian ditempatkan di rumah transit sebelum dibawa ke Kuala Lumpur menggunakan bas ekspres, diiringi oleh seorang lelaki Rohingya yang datang dari ibu kota.
“Pendatang yang baru masuk akan diberikan dokumen UNHCR palsu bagi mengaburi pihak berkuasa. Mereka akan dikenakan bayaran sebanyak RM500 setiap seorang oleh sindiket untuk penghantaran ke Kuala Lumpur.
“(Sebanyak) RM100 dikenakan untuk penghantaran di sekitar Kota Bharu,” katanya.
Dalam operasi itu, Jabatan Imigresen turut merampas dua dokumen UNHCR palsu, wang tunai RM2,000 dan sebuah Proton Wira yang dipercayai digunakan untuk mengangkut pendatang.
Tiga lelaki warga Rohingya itu disiasat bawah Seksyen 26A, Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, manakala tiga lagi lelaki juga Rohingya disiasat bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan