"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas pemimpin Pas tegur 10 sikap melampau yang bercanggah dengan Islam

Harapandaily

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas hari ini menegur 10 sikap ekstrem yang bertentangan dengan Islam.

Tanpa menyebut pihak mana yang dimaksudkan, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan bahawa tegurannya adalah berkaitan pemikiran dan akidah serta amalan melampau yang wujud dalam kelompok-kelompok Islam.

Berikut artikel lengkap Mohd Khairuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus:

10 Teguran Atas Sikap Melampau Yang Bercanggah Dengan Islam

1) Menganggap bahawa kelompok mereka sahaja benar dan selainnya adalah Jahiliyyah yang perlu diruntuhkan sebagaimana Jahiliyyah orang-orang Quraisy.

Lalu lahirlah perpecahan umat Islam atas pemikiran itu kerana umat Islam telah dibahagi kepada dua iaitu satunya Islam dengan maksud merujuk kepada kelompok mereka sahaja dan keduanya Jahiliyah iaitu umat Islam selain kelompok mereka.

2) Akhlak Islam hanya menjadi amalan dalam kalangan anggota kelompok sahaja tetapi tidak dengan muslim lain di luar kelompok atau dengan orang Islam yang keluar atau tidak lagi bersama kelompok mereka sedangkan ia sepatutnya akhlak yang terpakai di kalangan semua muslim yang bersyahadah termasuk apabila berinteraksi dengan kafir bukan islam.

3) Mengganggap apa sahaja pendirian oleh kelompok atau pimpinan kelompok adalah satu-satunya pendirian benar yang tidak boleh disanggah dari sudut Syarak sedangkan pendirian tersebut masih terbuka pada ijtihad atau salah menurut Syarak.

Ia seolah-olah “memaksumkan” kelompok sendiri atau “memaksumkan” pemimpin yang dianggap sentiasa benar dan tiada pernah silap dan salah.

4) Mengganggap ilmu Islam hanya apabila disampaikan oleh orang yang dikira ulama dalam kelompok mereka tetapi tidak bagi ulama di luar kelompok.

Ulama di luar kelompok akan diangggap Ulama Jahat yang cintakan dunia meskipun setinggi mana keilmuan dan kewarakannya. Malah menegur ulama dalam kelompok mereka dikira menentang ulama walaupun yang menegur itu juga adalah Alim Ulama tetapi apabila mereka menegur ulama di luar kelompok mereka maka ia dianggap jihad.

5) Mengganggap individu pemimpin tertentu khususnya pemimpin tinggi seolah-olah maksum tiada sebarang kesalahan lalu dipuji dan dipuji serta disucikan sedangkan tiada yang maksum melainkan Rasulullah (saw).

Lalu rentetan itu pandangan pemimpin itu akan diikuti, disebarkan dan dipertahankan mati-matian walaupun salah pada hukum Syarak.

Kerajaan Madani diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim mengamalkan pendekatan bersederhana dan mentafsir ajaran Islam secara tepat bersesuaian dengan persekitaran majmuk di Malaysia.
6) Menggunakan bahasa kasar termasuk maki hamun apabila menegur pihak lain di luar kelompok sedangkan Islam meletakkan bahasa yang baik dan lunak adalah cerminan akhlak muslim.

Malah, lebih malang apabila dianggap segala maki hamun itu halal kerana kita berada dalam situasi “perang” sebagaimana penyair Islam di zaman Nabi (saw) melontarkan syair “hija’ ” iaitu syair mempersendakan musuh Quraisy dalam peperangan antara Islam dan kufur.

7) Memahami maksud “Jamaah” dalam Hadis adalah merujuk kepada kelompok mereka lalu mewajibkan penggabungan diri dengan kelompok mereka sahaja sedangkan maksud “Jamaah” dalam hadis adalah merujuk kepada Jamaah umat Islam yang bersyahadah bukannya kelompok-kelompok kecil umat Islam.

Lalu lahirlah dari pemikiran ini anggapan bahawa sesiapa yang keluar daripada kelompok mereka seolah keluar dari Jamaah Muslimin sedangkan maksud keluar dari Jamaah Muslimin ialah murtad dan keluar daripada Islam sebagaimana Hadis Sahih Bukhari dan Muslim tentang orang yang halal darahnya antaranya
والتَّاركُ لدينِه المفارقُ للجماعةِ
“dan yang meninggalkan agamanya yang berpisah dari Jamaah (Muslimin)”

8) Mengganggap Malaysia bukannya negara Islam tetapi hanya negara umat Islam maka dibina di atas kefahaman itu kewajipan menegakkan negara Islam sedangkan sepatutnya naratif yang dibawa ialah Malaysia adalah negara Islam dan semua kita perlu bergerak untuk menyempurna dan melengkapkan lagi keislaman negara kita pada apa yang lemah dan kurang.

9) Hak persaudaraan Islam seperti memberi salam, ziarah menziarahi ketika sakit, melawat kematian, jemputan kenduri, tegur menegur saling menasihati, bantu-membantu dan lainnya hanya di kalangan ahli kelompok sahaja tetapi tidak dengan orang Islam di luar kelompok apatah lagi dengan bekas anggota kelompok kerana dianggap pengkhianat yang keluar dari Jamaah Islam.

10) Bersangka buruk terhadap apa sahaja yang datang daripada orang di luar kelompok meskipun ribuan kebaikan menurut Islam dilakukan dan dilaksanakan.

Ia merupakan penyakit hati yang akan mewariskan pula penyakit lain seperti mengintip dan menyebarkan keaiban, merendah-rendahkan orang lain, menghina dan mempersendakan, tuduh menuduh termasuk pada kehormatan diri orang lain, hasut menghasut serta adu domba serta mengumpat dan mencela.

Pemikiran-pemikiran melampau ini yang perlu ditegur dan dibetulkan kerana ia bercanggah dengan Aqidah, Syariat dan Akhlak Islam.

Ia adalah kemungkaran yang perlu ditegur dan dibetulkan malah menegurnya adalah jihad dakwah semasa khususnya di kalangan Ulama Islam kerana ia mengelirukan umat Islam terutamanya yang cetek kefahaman Islamnya.

Ada pun segala usaha dakwah yang baik yang dijalankan oleh kelompok Islam maka boleh dan wajar diteruskan sebagai satu kewajipan Dakwah dan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar dengan menghayati segala Fiqh Dakwah yang telah ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Hadis.

Saya menulis perkara ini bagi menunaikan kewajipan menegur dan menasihati sesama muslim sebagaimana firman Allah dalam surah al-Zariyat: 55
وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَىٰ تَنفَعُ الْمُؤْمِنِينَ
“Dan berilah peringatan kerana peringatan itu memberi manfaat kepada orang beriman”

Juga beramal dengan Hadis Muslim

الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنا: لِمَنْ؟ قالَ: لِلَّهِ ولِكِتابِهِ ولِرَسولِهِ ولأَئِمَّةِ المُسْلِمِينَ وعامَّتِهِمْ
“Agama itu Nasihat…untuk pemimpin umat Islam dan orang awam mereka”

Tiada ulasan: