MUHD HAZMAN ABD AZIZ
Keadaan kasut sebelah kanan lelaki itu selepas ‘ditelan’ tangga gerak. - Foto PEMBACA BH
Kaki kanan lelaki berusia 39 tahun itu harus dibalut selepas buku lalinya dikatakan telah terseliuh. - Foto PEMBACA BH
Seorang lelaki berusia 39 tahun terseliuh buku lali kanannya apabila kasutnya tersangkut di eskalator dekat tempat makan Fork and Spoon di Hab HDB.
Kejadian itu berlaku pada 4 Jun ketika lelaki tersebut (yang enggan namanya disiarkan) bersama tiga rakannya baru sahaja selesai makan tengah hari.
Beliau, yang mendakwa sedang berdiri di tengah eskalator itu, sudah menghampiri hujung tangga apabila tiba-tiba terasa kaki kanannya seperti ditarik. Eskalator itu kemudian berbunyi dan terhenti.
Lelaki itu sempat melompat dan menarik keluar kakinya, namun kasut kanannya ‘ditelan’ eskalator tersebut.
Dua temannya yang berada di belakang hampir terjatuh selepas tangga itu tiba-tiba berhenti.
Semasa kejadian, lelaki itu tidak merasakan kesakitan pada kaki kanannya dan sempat menghubungi nombor yang tertera pada eskalator tersebut.
Seorang pekerja kemudian tiba untuk menghentikan operasinya.
Lelaki itu kemudian diminta menghubungi pihak pengurusan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan dinasihatkan supaya berjumpa pengurus Fork and Spoon, yang bertanggungjawab mengendalikan eskalator tersebut.
Apabila mendapati kakinya terasa bertambah sakit, lelaki itu bergegas ke Hospital Khoo Teck Puat.
Di sana, doktor menjelaskan bahawa tulang kaki kanannya tidak patah, hanya terseliuh di bahagian buku lali akibat ditarik secara mengejut.
Beliau kemudian diberitahu bahawa Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) sedang menyiasat kejadian tersebut.
Apabila dihubungi, jurucakap BCA berkata pada waktu kejadian, eskalator tersebut berfungsi dengan baik.
“Eskalator itu dihentikan oleh suis keselamatan, yang diaktifkan secara automatik apabila ia mengesan ada kasut tersekat.
“Kami telah memberitahu pemilik eskalator tersebut supaya melakukan pembaikan dan pemeriksaan sebelum meneruskan operasinya,” tambahnya.
BCA menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah keselamatan semasa menaiki eskalator, seperti berdiri di antara garis kuning dan mengelakkan daripada berdiri berdekatan dengan tepi tangga supaya pakaian dan kasut tidak tersangkut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan