"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amang seksual: Pemandu bas sekolah dipenjara 15 tahun, sebatan

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
MUSLEH dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal keatas seorang pelajar perempuan. FOTO Abdul Rahemang Taiming
MUSLEH dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal keatas seorang pelajar perempuan. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Tawau: Pemandu bas sekolah dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan pada Januari tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Rosli Ahmad selepas tertuduh Musleh Mahmod, 43, didapati bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 14 tahun (ketika kejadian) di dalam bas sekolah semasa menunggu peralihan sesi persekolahan.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan antara 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, masing-masing pada 25 dan 31 Januari tahun lalu.

Sepanjang perbicaraan bermula 8 November 2023 itu, seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan, manakala pihak pembelaan menampilkan tiga saksi termasuk tertuduh sendiri.

Terdahulu, peguam Samsuddin Sudirman yang mewakili tertuduh dalam rayuan mitigasinya memohon hukuman minima dengan alasan anak guamnya perlu menyara keluarga termasuk kedua Ibu bapa dan isteri yang tidak bekerja selain meminta hukuman berjalan secara serentak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suryana memohon hukuman berat kerana kesalahan dilakukan tertuduh amat serius.

Menurutnya, ia mengambil kira kesan trauma dialami mangsa seperti yang dapat disaksikan sewaktu perbicaraan apabila gadis itu dilihat tidak selesa dengan kehadiran tertuduh.

Katanya, tertuduh juga sedikit pun tidak menunjukkan sebarang rasa simpati atau menyesal.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan pertama, manakala hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan kedua.

Hakim turut memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan secara berasingan selain menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perintah pelaksanaan hukuman.

Tiada ulasan: