Alyaa Alhadjri
Pemuda Umno Johor memberi amaran kepada Adun Stualang, Andrew Chen berhubung program kewarganegaraan anjurannya yang menimbulkan kecaman di media sosial.
Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambrose menggesa program itu dibatalkan meskipun Chen mengumumkan program yang dijadualkan pada 30 Jun itu ditangguhkan.
"Jangan cuba buat lawak... Kamu akan terkejut jika kamu cuba buat sesuatu yang lucu," kata Noor Azleen kepada pemberita di Johor petang ini.
Difahamkan kontroversi timbul berikutan tajuk awal program itu yang dinamakan sebagai “Program Permohonan Kewarganegaraan”.
Bagaimanapun tajuk program berkenaan dilihat telah ditukar kepada “Taklimat dan Penerangan Kewarganegaraan” di Faceboook Chen.
Sementara itu, Noor Azleen mempersoalkan keperluan Adun DAP itu menganjurkan program sedemikian.
Menurutnya, program seumpama itu sepatutnya dikendalikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Dalam Negeri.
“Tidak ada sebab bagi parti politik untuk terlibat dalam aktiviti seperti ini. Ia sepatutnya dilakukan oleh agensi-agensi berkaitan.
“Apatah lagi sekarang menteri dalam negeri juga adalah dari kalangan mereka (PH),” tambahnya, merujuk kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Azlene berkata walaupun dia tidak mengulas isu lain seperti isu sekolah vernakular yang didakwa sebagai provokasi, namun ada hal tertentu seperti hak kewarganegaraan yang tidak boleh dikompromi.
Terdahulu, Chen menjelaskan program itu bertujuan untuk menangani isu membabitkan individu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa dan sebab-sebab lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan