KOSMO
Kenderaan Pasukan Keselamatan Iraq ditempatkan di hadapan KFC dan Pizza Hut. - AFP
BAGHDAD – Pihak berkuasa Iraq menahan sejumlah individu berikutan serangan ke atas beberapa rangkaian restoran makanan segera dari Amerika Syarikat (AS) termasuk rusuhan di KFC Baghdad, lapor laman berita Middle East Eye.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, antara yang ditangkap adalah anggota pasukan keselamatan Iraq.
Serangan-serangan dilakukan ketika semakin ramai orang menyeru supaya memboikot produk jenama AS berhubung sokongan Washington terhadap Israel.
“Malangnya, ada individu yang terlibat dengan serangan ini merupakan mereka yang terlibat dengan pasukan keselamatan negara. Tindakan sedemikian dilakukan untuk membahayakan kepentingan Amerika,” ujar kementerian tersebut.
Satu sumber keselamatan memberitahu agensi berita AFP bahawa seramai 13 suspek telah ditangkap kelmarin.
Restoran KFC di ibu negara Iraq, Baghdad diserang kelmarin, manakala beberapa cawangan lain turut diserang pada minggu lalu. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan