FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang penjual kuih mengaku tidak bersalah Mahkamah Majistret George Town atas pertuduhan sengaja menyebabkan kematian seekor kucing minggu lalu.
Faizul Azlan Ridzuan, 47, membuat pengakuan itu di depan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Mengikut pertuduhan lelaki itu didakwa sengaja menyebabkan kematian seekor kucing dengan memasukkannya dalam guni sebelum mencampak ke parit di Kota Giam, Jelutong pada 8.30 pagi 31 Mei lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan, lapor Harian Metro.
Timbalan Pendakwa Raya M Darrshini mencadangkan jaminan RM7,000, tetapi peguam tertuduh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon ikat jamin dikurangkan kerana anak guamnya berpendapatan RM1,500 dan mempunyai seorang tanggungan.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 18 Julai bagi lantikan peguam serta serahan dokumen.
Terdahulu, video 66 saat tular di media sosial menunjukkan beberapa individu mengambil satu guni dari parit dan menemui bangkai kucing di dalamnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan