Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tiada pendakwaan akan dibuat terhadap Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew berhubung kes membabitkan pempengaruh Indonesia Mondy Tattoo yang didakwa dirogol pendakwah itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Ebit selepas diberitahu polis semalam.
"Polis selesai siasatan rogol yang didakwa Mondy terhadap Ebit baru-baru ini selepas laporan polis dibuat Mondy pada September 2023.
"Keputusan Timbalan Pendakwa Raya untuk tidak meneruskan pendakwaan kerana tiada kes.
"Jadi Ebit Lew tidak akan dituduh sebab tiada kes dan barang kes seperti telefon bimbit dan simkad dipulangkan semalam," katanya, hari ini.
Akberdin mendakwa, dakwaan terhadap Ebit adalah serius dan mencemarkan nama pendakwah itu.
"Kes saman fitnah terhadap Mondy diteruskan di Mahkamah Shah Alam dan kini di peringkat penilaian ganti rugi, mahkamah akan memberi kuantum pada 1 Julai nanti," katanya.
Pada 11 Oktober tahun lalu, media melaporkan kertas siasatan berhubung dakwaan kes rogol dan gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal terbabit diserahkan kepada AGC.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dipetik berkata, kedua-dua kertas siasatan itu dirujuk kepada AGC untuk tindakan lanjut.
Pada 29 September tahun sama Mondy Tattoo antara 10 individu yang diambil keterangan bagi membantu siasatan kes rogol Ebit Lew.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan