"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Makin ramai enggan kahwin?

Siti Norhidayah Mohd Yunus
am@hmetro.com.my

MALAYSIA berada di tempat ketiga dalam kalangan negara di Asia Tenggara dengan 44.68 peratus penduduknya dikenal pasti sebagai individu bujang. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Kuala Lumpur: Laporan 'SeaAsia Stats' merekodkan bahawa Malaysia berada di tempat ketiga dalam kalangan negara di Asia Tenggara dengan 44.68 peratus penduduknya dikenal pasti sebagai individu bujang.

Untuk rekod, individu bujang ini boleh diklasifikasikan sebagai individu yang belum berkahwin, bercerai berpisah, atau balu.

Statistik ini meletakkan Malaysia di belakang Filipina yang berada di tempat pertama dengan 49 peratus daripada populasinya berstatus bujang, diikuti Brunei dengan 44.9 peratus.

Kemboja, Myanmar dan Thailand masing-masing berada di tempat keempat hingga keenam dengan 44.6 peratus, 29 peratus serta 23 peratus.

Ia diikuti Indonesia (22 peratus), Singapura (20 peratus), Laos (17 peratus) manakala dua negara dengan individu bujang terendah adalah Vietnam (16 peratus) dan Timor-Leste (13 peratus).

Kajian itu berdasarkan sumber daripada Divisyen Populasi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) Statistik Populasi & Bujang berdasarkan data pada 2021.

Menurutnya, daripada 1970 hingga 2021, PBB mengumpulkan data perkahwinan lebih 1.6 bilion individu bujang di seluruh dunia.

Data itu mendapati, pelbagai faktor menyumbang kepada peningkatan individu bujang di Malaysia, termasuk pandangan terhadap perkahwinan, peningkatan ekonomi serta meningkatnya keperluan sosial mereka yang masih bujang.

Fokus terhadap kerjaya buat hilang minat untuk berkahwin

"Saya tidak percaya dengan kata-kata lelaki lagi," luah Murni Abdullah apabila ditanya alasan masih bujang walaupun usia sudah mencecah 41 tahun.

Murni yang juga usahawan berkata, kurangnya kepercayaan terhadap lelaki adalah punca utama dia enggan berkahwin dan ingin kekal bujang.

Menurutnya, pengalaman hidupnya membentuk pandangannya terhadap perkahwinan.

"Saya pernah mengalami beberapa hubungan namun ia berakhir dengan kekecewaan dan penuh dengan pengkhianatan.

"Ini secara umumnya, menyebabkan saya hilang kepercayaan terhadap lelaki," katanya.

Jelasnya, pengalaman itu bukan sahaja meninggalkan kesan emosi mendalam malah mengubah pandangannya berkaitan hubungan jangka panjang.

Murni berkata, fokusnya kini adalah kepada kerjaya dan kemandirian peribadi.

"Saya menemui kepuasan dan kebahagiaan dalam membina perniagaan saya sendiri.

"Ini memberikan saya kebebasan dan kawalan terhadap hidup saya yang mungkin sukar dicapai jika saya terikat dalam perkahwinan," katanya.

Tambahnya, kejayaan dalam kerjaya memberikannya rasa pencapaian yang tinggi dan kebebasan untuk membuat keputusan tanpa perlu bergantung kepada orang lain.

"Kemandirian emosi dan kebebasan peribadi adalah faktor penting dalam keputusan saya ini.

"Saya percaya bahawa kebahagiaan tidak semestinya datang daripada perkahwinan. Banyak cara lain untuk menikmati hidup dan merasa puas.

"Kebebasan untuk menjalani hidup mengikut kehendak sendiri adalah sesuatu yang perlu dihargai," katanya.

Murni berkata, walaupun berdepan tekanan untuk berkahwin, dia tetap teguh dengan keputusannya.

"Masyarakat sering memberi tekanan kepada wanita untuk berkahwin dan mempunyai keluarga, tetapi saya percaya bahawa setiap individu berhak membuat pilihan yang terbaik untuk diri sendiri," katanya.

Bagi guru, Mohd Khairul Anwar Hamzah, 42, kewangan kurang kukuh adalah faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan bilangan individu bujang.

Menurutnya, kewangan terhad membuatkannya tidak mahu membebani diri sendiri sekiranya tidak mempunyai wang cukup untuk berkahwin seterusnya melayari kehidupan sebagai suami isteri.

"Kos untuk berkahwin juga besar. Kahwin hanya sekali sahaja seumur hidup, jadi seboleh-bolehnya, kita mahu memberikan majlis perkahwinan yang terbaik.

"Saya juga jadi takut untuk berkahwin kerana kos sara hidup di bandar semakin meningkat dan tidak mahu terbeban dengan hutang keliling pinggang di kemudian hari," katanya.

Tambahnya, kos sara hidup semakin tinggi berkenaan turut menyebabkan individu berkaitan berasakan lebih sesuai untuk hidup membujang.

Sementara itu, jurutera, Abdul Aziz Yaakob, 44, berkata, terlalu fokus terhadap kerjaya mengakibatkannya hilang minat untuk berkahwin malah mahu kekal bujang.

Aziz memilih untuk memberikan sepenuh perhatian terhadap kerjaya kerana yakin ia tidak akan merugikan dirinya.

"Saya tiada masa untuk mencari pasangan atau jodoh. Kalau ada yang berkenan, adalah. Jika sebaliknya, saya tetap bersyukur," katanya.

Tiada ulasan: