Noorazura Abdul Rahman
bhnews@bh.com.my
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Zakaria Othman (kanan) menziarahi Abdul Rahman Kheng selepas lelaki itu memeluk Islam. - Foto FB
JITRA: Selepas enam tahun anak sulung memeluk Islam pada Mac 2018 ketika berusia 11 tahun, kini suami isteri dari Pekan Tunjang turut mendapat hidayah Allah apabila melafazkan kalimah syahadah pada 26 Mei lalu.
Lim Hun Kheng atau nama Islamnya Abdul Rahman Kheng, 51, berkata dia dan isteri, Wandee Sandaesa, 45, atau nama Islam Nur Wandee membuat keputusan memeluk Islam selepas kedua-duanya bermimpi lebih dua minggu lalu.
"Pada mulanya saya mimpi pergi ke pejabat agama untuk mengucapkan kalimah syahadah dan pada malam esoknya isteri saya pula bermimpi dia didatangi lelaki berjubah putih seperti pakaian imam masjid.
"Kami tidak bercerita antara satu sama lain sehingga beberapa hari selepas itu kami bersembang mengenai kos rawatan isteri (warga Thailand), dia mengidap penyakit jantung dan memerlukan rawatan berkala di Hospital Satun.
"Keadaan jantungnya agak kurang baik dan memerlukan pembedahan segera dengan kos mungkin melebihi RM10,000, saya dan isteri pun bercerita mengenai mimpi masing-masing dan mungkin ini tandanya kami juga perlu peluk Islam seperti anak kami, Firdaus Hong yang kini sudah berusia 17 tahun," katanya dihubungi, di sini.
Lelaki Cina ini berkata, dia dan isteri kemudian dibantu bapa angkat anak mereka yang dikenali sebagai Ehsan sebelum menghubungi jawatankuasa masjid Pekan Tunjang untuk memimpin lafaz syahadah pada jam 11 malam, 26 Mei lalu.
Selepas memeluk Islam, dia dan isteri berasa lebih tenang dan menerima bantuan awal daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
"Selepas peluk Islam, keesokannya Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman datang ziarah saya sekeluarga. Alhamdulillah kami dapat pelbagai bantuan dari zakat. Cuma sekarang ini kami perlu fikir untuk mencari wang untuk pembedahan isteri saya di Hospital Satun pada hujung bulan ini," katanya yang bekerja sebagai tukang perabot.
Ketika ditanya mengenai anak kedua mereka, Abdul Rahman berkata anaknya, Lim Eveen, 13, masih belum mengikut jejak mereka untuk memeluk Islam.
"Saya tidak paksa anak bongsu untuk peluk Islam, cuma kami perlu tunjuk contoh yang baik seperti Firdaus buat sebelum ini. Sekarang saya dan isteri dalam proses belajar agama, ramai kenalan yang datang membantu. Alhamdulillah saya syukur kepada Allah kerana beri hidayah kepada kami," katanya.
Pada 11 Mei 2019, media melaporkan Hun Kheng dan isteri sentiasa membantu mengejutkan anak mereka Firdaus untuk bersahur pada Ramadan termasuk menghantar dan menjemput anaknya untuk mempelajari agama.
Firdaus memeluk Islam secara sukarela pada usia 11 tahun dan dibawa ke pejabat agama daerah oleh ibu bapanya bagi tujuan pendaftaran.
Firdaus kini belajar dan tinggal di asrama sekolah agama LZNK iaitu Maahad Dini Sultan Abdul Halim di Alor Setar.
Semalam, Zakaria turut berkongsi di Facebook mengenai pasangan ini dengan tajuk '6 tahun menanti kelahiran ayah dan ibu'.
Bagi orang ramai yang mahu membantu Abdul Rahman dan isteri boleh berbuat demikian menerusi akaun AmBank (8881017438912) atas nama Lim Hun Kheng.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan