"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 penjenayah maut ditembak di hentian Tanjung Malim

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Hulu Selangor: Polis menembak mati dua penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di Hentian Sebelah Tanjung Malim arah utara, Lebuhraya Utara Selatan, malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis Kontinjen Selangor mengesahkan, menerima satu laporan polis berhubung kejadian polis berbalas tembakan.

Menurutnya, pada 11.32 malam, anggota polis yang bertugas di pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor menerima maklumat pertama berhubung kejadian ini.

"Kejadian berlaku apabila sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Kontinjen Perak mengekori kereta Proton Waja warna kelabu dalam keadaan mencurigakan.

"Apabila suspek sedari diekori, suspek melarikan diri dan memasuki Lebuhraya Utara Selatan arah utara.

"Pasukan polis mengejar suspek sehingga masuk ke hentian sebelah Tanjung Malim dan berjaya menghentikan kenderaan suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini

Beliau berkata, semasa kejadian suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

"Pihak polismem balas tembakan sehingga keadaan selamat. Pemeriksaan mendapati kedua suspek di dalam kenderaan berlumuran darah dan meninggal dunia.

"Suspek adalah dua lelaki tempatan yang mempunyai rekod lampau dan salah seorang mempunyai 23 rekod jenayah serta enam masih dikehendaki oleh pihak polis.

"Manakala seorang lagi suspek identitinya masih dikenal pasti," katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 kanun keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian ini, boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor ditalian 03-60641223,"katanya.

Tiada ulasan: