"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sekelip mata boleh hilang RM4 juta

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Wanita warga emas kerugian lebih RM4 juta selepas terpedaya dengan tawaran skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata wanita berusia 63 tahun yang juga pesara sebuah syarikat swasta membuat laporan berhubung pelaburan tidak wujud pada jam 12.32 tengah malam, hari ini.

Katanya, wanita berkenaan melaporkan melihat iklan pelaburan di laman Facebook berkenaan pelaburan saham pada pertengahan Mac lalu.

"Pengadu kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dan diminta untuk membuka satu akaun pelaburan iaitu Foreign Direct Investment (FDI) Hub bertujuan untuk melabur dalam pasaran saham tempatan yang mana dia dijanjikan keuntungan sebanyak 11 hingga 13 peratus daripada nilai pelaburan yang dibuat.

"Selepas melihat peningkatan peratusan keuntungan yang diperoleh dalam pelaburan berkenaan, mangsa tertarik seterusnya membuka akaun dengan FDI Hub dan membuat 42 transaksi berjumlah keseluruhan RM 4,749,214.

"Setelah keuntungan mencapai sebanyak RM11.3 juta, pengadu mahu membuat pengeluaran wang daripada sistem terbabit namun mendapati tiada sebarang kemasukan wang ke akaun bank miliknya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat, dan juga hendaklah dikenakan denda.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan pelaburan saham, cryptocurrency atau apa-apa jenis pelaburan yang ditawarkan atas talian melalui media sosial, yang kononnya menawarkan pulangan keuntungan yang besar dalam masa yang singkat.

"Orang ramai diingatkan agar membuat pelaburan di platform yang sah dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan segera menghubungi mana-mana balai polis atau talian hotline PDRM untuk pertanyaan jika mendapati ada iklan atau tawaran pelaburan atas talian yang mencuri

Tiada ulasan: