"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Disyaki geng rompakan berkumpulan, 'Rider' ditahan

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
LOKASI kejadian dua warga asing dirompak sekumpulan lelaki bersenjata parang di Jalan Pandan Jaya, Ampang Jaya, Mei lalu. FOTO Ihsan Polis
LOKASI kejadian dua warga asing dirompak sekumpulan lelaki bersenjata parang di Jalan Pandan Jaya, Ampang Jaya, Mei lalu. FOTO Ihsan Polis
Ampang: Pekerja p-hailing disyaki anggota geng rompakan bersenjata yang menyasarkan warga asing di sekitar daerah ini, ditahan polis kelmarin.

Suspek berusia 19 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di Jalan Pandan Jaya di sini, pada 9.10 malam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan kes rompakan yang berlaku di Pandan Jaya pada 3 Mei lalu.

"Dalam kejadian 2.30 petang, dua lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai tukang paip mendakwa didatangi empat lelaki tempatan yang menaiki motosikal.

"Suspek merompak mangsa menggunakan parang dan melarikan wang tunai RM1,000 berserta dua telefon bimbit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, hasil siasatan polis berjaya mengesan dan menahan seorang suspek.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah motosikal, telefon bimbit dan sebilah parang yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.

"Berdasarkan siasatan, suspek menyasarkan warga asing untuk melakukan rompak berkumpulan dengan menggunakan motosikal dan senjata parang," katanya.

Katanya, semakan juga mendapati suspek memiliki tujuh rekod jenayah lampau termasuk dadah.

Tambah beliau, suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga 12 Jun ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan kini sedang giat mengesan suspek yang masih bebas.

Tiada ulasan: