RUMAH dipenuhi sampah sehingga kawasan menjadi sempit dan menyukarkan pergerakan.
Johor Bahru: Ibarat penyakit berjangkit apabila bilangan 'pencinta' atau mengumpul sampah kian merebak dan menular di kalangan masyarakat.
Tabiat luar biasa individu digelar hoarders ini dikesan semakin mudah ditemui di kawasan perumahan di negara ini apabila mereka gemar hidup bersama timbunan barangan terbuang.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Baru Permas Jaya A, Habib Syed Sallilah Aasad berkata, ada sekurang-kurangnya empat pemilik kediaman di kawasannya yang hidup bertemankan sampah.
Beliau berkata, golongan ini tidak menyedari tabiat mereka mengumpul sampah tidak disenangi jiran tetangga.
"Golongan ini menjadikan ruangan dalam rumah dan hadapan rumah sebagai lokasi mengumpul sampah. Manakala sebahagian pula mengumpul sampah di lorong belakang rumah.
"Bukan hanya di luar rumah, malah sampah seperti plastik, kertas dan botol kosong berlonggok dan memenuhi ruang di dalam rumah.
"Saya pernah mengunjungi rumah salah seorang pesakit ini, longgokan sampah mengakibatkan rumahnya menjadi amat sempit hingga sukar dilalui," katanya.
Menurutnya, sampah dikumpul memenuhi dari lantai hingga ke siling kediaman.
"Hendak berjalan pun susah. Sampah berada di mana-mana sam ada di ruang tamu, bilik tidur, dapur hingga ke tandas," katanya.
Terbaru 18 April lalu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengutip dan membersihkan 2 tan sampah dikumpul dari kediaman lelaki warga emas di Permas Jaya, di sini.
Rumah lelaki itu dipenuhi dua tan sampah termasuk sisa makanan, plastik, kotak dan tin.
Lebih mengecewakan perbuatannya menjejaskan keselesaan jiran berhampiran yang terpaksa menutup pintu dan tingkap kerana tidak tahan dengan bau busuk dan nyamuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan