"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Fatwa PAS? Kejap ada kejap takde

Mohsin Abdullah

Mungkinkah Tuan Ibrahim telah tersalah cakap atau terlepas cakap yang boleh menyinggung perasaan kawan-kawan yang dahulu pernah memerintah?

Tajuk artikel ini saya pinjam daripada iklan biskut yang popular suatu masa dahulu. Ramai yang gemar menggunakannya ketika merujuk kemunculan mendadak dan kehilangan mendadak seseorang, benda, atau pun perkara.

Untuk artikel ini ungkapan itu saya gunakan bersabit kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man, timbalan presiden PAS. Pada 4 Jun lalu beliau dilapor berkata kemenangan Islam dalam pilihan raya akan menyebabkan dosa-dosa golongan terdahulu diampunkan “seperti dinyatakan Allah di dalam Al-Quran”.

Tuan Ibrahim berkata keampunan Ilahi disebabkan berlakunya perubahan kepada pentadbiran yang menghapuskan maksiat yang telah dibenarkan oleh pentadbiran terdahulu. Walaupun beliau dikatakan memetik sirah kemenangan Rasulullah, rasanya umum boleh baca apa yang tersurat dan tersirat dalam kata-kata beliau.

Beliau juga dipetik berkata “dengan kemenangan Islam kita boleh betulkan dasar yang tak betul, kemungkaran yang dibenarkan zaman dulu, contohnya perjudian”. Pada hemat saya ini jelas tanpa perlu penjelasan siapa yang dirujuk.

Ada lagi yang jelas-sejelasnya. Tuan Ibrahim berkata premis perjudian wujud kerana kelulusan diberi oleh pemimpin yang berkuasa dengan mendapat kuasa melalui pilihan raya. Jelas dan nyata bukan? Maka bolehkah saya kata yang dimaksudkan ialah pemimpin kerajaan dahulu, termasuk mereka yang bersama PAS masa ini?

Tuan Ibrahim seterusnya dipetik berkata pemimpin itu (yakni yang dahulu) mendapat kuasa hasil sokongan rakyat terdahulu yang menyebabkan semuanya bersekongkol dengan maksiat. Ertinya rakyat yang menyokong atau mengundi pemimpin dahulu melakukan kesalahan (atau dosa?) kerana “bersekongkol dengan maksiat”?

Untuk menghentikan itu semua, menurut beliau, ialah dengan cara “kita berjuang” dan “bila kita menang kita tutup premis perjudian supaya dosa tadi terhenti”. Bukanlah sesuatu yang memeningkan kepala untuk tahu ‘kita’ yang dimaksudkan ialah parti Tuan Ibrahim dan ‘menang’ ialah menang pilihan raya.

Sesungguhnya di negeri yang diperintahnya (hasil kemenangan pilihan raya) PAS menutup premis judi meskipun dituduh menafikan hak dan menyekat kebebasan masyarakat bukan Islam. Namun kata PAS, “semua agama mengakui judi adalah tidak baik dan melarangnya”. Benar tetapi pun begitu agama lain tidak mengharamkannya seperti mana Islam mengharamkan judi. Bagi mereka, penganut boleh membuat pilihan sendiri tapi bagus jika tidak berjudi.

Berkata Tuan Ibrahim: “kita tak tutup terus bar, disko, kelab malam. Tetapi kita ada proses ada kaedah-kaedah yang kita buat.” Beliau tidak nyatakan apa kaedah yang dibuat. Adakah PAS menyifatkan bar, disko, kelab malam tidak semaksiat judi? Setelah tahu pandangannya terhadap judi bagaimana pula PAS melihat bar, disko, dan kelab malam? Bagi Tuan Ibrahim “mana yang perlu utama dulu mana yang perlu kemudian. Ada aulawiyat. Sebab kena teliti kena hati-hati. Allah bila mana mengharamkan arak ada tiga peringkat.”

Apa yang beliau dilapor berkata adalah sebahagian ucapannya pada perasmian mesyuarat agung PAS kawasan Port Dickson pada 3 Jun lalu. Pertama kali saya baca mengenai ucapan beliau itu ialah menerusi laporan Malaysiakini. Portal berita itu memetik laporan Harakahdaily. Oleh kerana itu saya berpendapat elok juga jika saya baca laporan terus di Harakahdaily.

Malangnya laporan itu sudah tiada. Dibawa turun. Lebih tepat dipadamkan. Mengapa? Adakah kerana Harakahdaily salah lapor? Jika begitu keadaannya Tuan Ibrahim boleh menegur atau membuat penafian untuk membolehkan Harakahdaily membuat pembetulan.

Atau adakah Malaysiakini yang salah buat interpretasi? Sehingga sekarang tidak ada penafian baik daripada Tuan Ibrahim atau pun Harakahdaily terhadap laporan Malaysiakini. Ertinya Malaysiakini tidak salah tafsir atau tidak salah lapor dalam memetik laporan Harakahdaily. Sehingga saat ini laporan itu masih boleh dibaca di Malaysiakini.

Mungkinkah Tuan Ibrahim telah tersalah cakap atau terlepas cakap yang boleh menyinggung perasaan kawan-kawan yang dahulu pernah memerintah? Atau menyakiti hati rakyat kerana ‘bersekongkol dengan maksiat’? Mungkinkah ucapan timbalan presiden PAS boleh membawa kesan negatif terhadap parti?

Tuan Ibrahim boleh sahaja mengeluarkan versi baharu ucapannya menerusi Harakahdaily tetapi hadirin di mesyuararat agung PAS Port Dickson sudah dengar ucapan yang ori. Lantas tindakan memadam laporan berkenaan daripada Harakahdaily sesuatu yang sia-sia.

Hakikatnya apa yang berlaku ialah laporan ucapan Tuan Ibrahim di Port Dickson muncul dan hilang. Maka sebab itu saya pinjam kata-kata iklan biskut yang disebut tadi.

Tiada ulasan: