Sindiket kontena terbang: JKDM sahkan 3 pegawai ditahan SPRM
Raja Noraina Raja Rahim
TUJUH suspek ditahan babitkan sindiket kontena terbang. FOTO Ihsan Sumber
Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) maklum mengenai penahanan tiga pegawainya yang disyaki terbabit sindiket penyeludupan barangan import terbesar membabitkan ketirisan cukai lebih RM3.5 bilion.
JKDM menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan lanjut.
"Pendirian JDKM adalah jelas dan tegas dengan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit salah laku serta pelanggaran integriti termasuk jenayah rasuah.
"Sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terbabit hanya boleh ditentukan berdasarkan hasil daripada keputusan siasatan SPRM kelak," kata kenyataan itu.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan tujuh individu termasuk tiga pegawai agensi penguat kuasa ditahan SPRM selepas disyaki ada kaitan dengan sindiket penyeludupan barangan import terbesar membabitkan ketirisan cukai sekitar RM3.5 bilion kepada negara sejak 10 tahun lalu.
Melalui operasi Ops Transit itu, SPRM turut menahan seorang pengarah syarikat kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang, Selangor itu.
Menurut sumber, suspek membabitkan dua wanita dan lima lelaki berusia sekitar 30-an hingga 50-an ditahan petang semalam di beberapa lokasi sekitar Pelabuhan Klang.
Mengulas lanjut, JKDM berkata, pihaknya sedang mengambil langkah proaktif secara berterusan bagi mengekang aktiviti rasuah dan ketirisan di pintu masuk keluar negara.
JKDM sentiasa komited memerangi jenayah rasuah selaras dengan agenda utama JKDM dalam usaha memartabatkan nama baik jabatan dan perkhidmatan awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan