"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes jenayah seksual: Ibu mangsa dedah perbuatan PU Azman terhadap anak lelaki

WAN SITI AMINAH

Mahkamah Sesyen Seremban hari ini memulakan perbicaraan kes jenayah seksual melibatkan seorang pendakwah selebriti terkenal iaitu Pencetus Ummah (PU) Azman.

Dalam perbicaraan itu, ibu kepada salah seorang mangsanya membuat pendedahan mengejutkan mengenai perbuatan pendakwah berkenaan terhadap anak lelakinya.

Wanita terbabit menjelaskan, insiden yang berlaku di rumah PU Azman di Sendayan pada 5 Februari 2022 itu dimaklumkan oleh anaknya yang ketika itu berusia 17 tahun.

Perkara tersebut didedahkan kepada wanita berusia 45 tahun itu dalam pertemuan yang diatur oleh guru sekolah kebangsaan anaknya pada 27 Ogos 2022, lapor Berita Harian.

Difahamkan, pertemuan yang diadakan di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor itu turut dihadiri oleh seorang lagi pendakwah bebas dikenali ramai iaitu Firdaus Wong.

“(Sebelum ini) Anak saya kata nak pergi rumah Azman saja-saja. Dalam perbualan WhatsApp, dia nak jadikan anak saya sebagai anak angkat. Mulanya tak percaya sebab Azman seorang selebriti, tetapi anak meyakinkan saya (membenarkan) untuk ke rumah Azman.

“Anak saya cakap dia tak menipu. Dia duduk di ruang tamu kemudian Azman suruh ambil minyak di bilik tingkat atas rumah. Dia minta anak saya sapukan minyak itu di bahagian kemaluannya (anak) sebelum minta memasukkan kepadanya (Azman),” katanya memetik laporan Berita Harian.

Saksi ketiga pendakwaan itu memberikan keterangan berkenaan di hadapan Hakim Datin Surita Budin dengan pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly dan Goh Hsiao Tung.

Manakala pemilik nama sebenar Azman Syah Alias selaku tertuduh pula diwakili oleh peguamnya iaitu Mohamad Zahid Ahmad, Fahmi Adilah dan Norman Mohd Nasir.

Pendakwah selebriti berusia 43 tahun itu kali pertama dihadapkan ke mahkamah pada 12 Oktober 2022 atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Azman didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja berusia 16 dan 17 tahun itu dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai, Seremban, pada 6 Julai 2022.

Juara Pencetus Ummah musim kedua itu turut berdepan tujuh lagi pertuduhan di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang, berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang lagi remaja.

Sementara itu, saksi kedua pendakwaan pula memberitahu mahkamah bahawa anak keduanya mengenali tertuduh sejak bersekolah rendah Tahun 6 selepas mengikuti kem motivasi dikendalikan PU Azman.

Saksi yang juga bapa kepada salah seorang mangsa iaitu remaja lelaki berusia 18 tahun itu mengakui mulanya tidak percaya tertuduh sebagai seorang beragama boleh melakukan perbuatan tidak bermoral.

“Saya tahu mereka rapat dan ada berhubung, tetapi tidak pasti sejauh mana. Kali pertama saya jumpa PU Azman ketika hantar anak lelaki (mangsa) ke rumahnya di Sendayan pada 5 Februari 2022 bersama isteri dan tiga anak lain.

“Dia (mangsa) sendiri minta hantar ke sana sebab jauh dari rumah kami di Klang,”kata juruteknik sebuah kilang di Klang, Selangor yang tidak mengesyaki apa-apa selepas menghantar anak lelakinya bermalam di rumah PU Azman.

Bapa berusia 54 tahun itu juga sempat berpesan kepada pendakwah terbabit agar menasihati dan membimbing anaknya mengenai agama terutamanya berkaitan solat.

Saksi berkenaan bagaimanapun hanya mengetahui anaknya menjadi mangsa ketika menghadiri pertemuan dengan seorang wanita yang juga guru agama sekolah rendah anaknya di sebuah hotel di Shah Alam.

Pertemuan diadakan pada 27 Ogos 2022 itu dihadiri sembilan individu, termasuklah isteri dan anak lelakinya, ustazah terbabit serta beberapa individu tidak dikenalinya.

“Isteri saya yang kenal ustazah itu. Ustazah memberitahu anak saya telah menjadi mangsa PU Azman, anaknya juga menjadi mangsa. Saya terkejut, marah, tak sangka dia sanggup buat perkara yang dilarang.

“Saya hanya tahu perkara ini daripada ustazah, anak tidak bercakap atau beritahu perkara ini,” kata bapa yang mendedahkan anaknya berubah menjadi tertekan pada akhir tahun lalu dan menyatakan hasrat mahu berhenti sekolah.

Menurut bapa kepada kepada empat cahaya mata itu, dia menemani anak lelakinya membuat laporan polis pada 31 Ogos 2022 di Shah Alam atas persetujuan mangsa sendiri.

Terdahulu, jurufoto Jabatan Siastan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Lans Koperal Mohd Nor Arif Mohd selaku saksi pertama pendakwaan memberi keterangan dan mengemukakan gambar tempat kejadian serta barang rampasan, iaitu permaidani dan satu botol.

Sepanjang perbicaraan kes yang ditetapkan sehingga 28 Julai ini, seramai 26 saksi dijangka akan dipanggil ke mahkamah untuk memberikan keterangan.

Tiada ulasan: